Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 8 Jun 2015

Kerajaan Persekutuan bina semula Jambatan Kampung Pulau Setelu

Jambatan sementara Pulau Setelu yang telah siap dibina dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam.
GUA MUSANG: Kerajaan Persekutuan akan membina semula jambatan kekal di Kampung Pulau Setelu di sini, yang musnah dalam banjir Disember tahun lepas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pembinaan jambatan baharu itu akan melibatkan kos sebanyak RM40 juta dan beliau menggesa agensi berkaitan mempercepat proses pengeluaran tender agar nadi perhubungan utama penduduk itu dapat disiapkan segera.

"Kita amat faham dengan masalah yang dihadapi penduduk selepas jambatan berkenaan musnah dalam kejadian banjir tahun lepas hingga menyebabkan mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan perahu untuk berulang-alik ke masjid dan sekolah.

"Kini, peringkat pertamanya telah selesai apabila jambatan sementara yang dibina sejak sebulan lepas telah siap dan kita tunggu pula jambatan kekal yang bakal dibina tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambatan Sementara Kampung Pulau Setelu Nenggiri di sini Ahad.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan Datuk Makhtar Mustapha, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Datuk Mat Yusoff Abd Ghani dan ADUN Galas, Ab Aziz Yusof.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata jambatan yang runtuh dalam kejadian banjir besar itu menghalang pengguna untuk ke Jeli atau Gua Musang.

Katanya ini menyebabkan pengguna terpaksa menggunakan laluan Kuala Krai-Dabong yang lebih jauh dan memakan masa.

"Walaupun jambatan sementara itu tidaklah sebaik jambatan kekal, namun ia hanya untuk kegunaan sementara dan kerajaan telah berjanji akan membina jambatan kekal untuk tahan lama.

"Kita juga mengucapkan tahniah kepada kontraktor yang membina jambatan sementara itu yang hanya mengambil masa sebulan tepat untuk menyiapkannya hingga boleh dilalui kenderaan," katanya.

Sumber: Bernama | 8 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan