Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 7 Jun 2015

RMK9: Projek hotel wakaf JAWHAR di Kota Bharu masih belum dilaksana

Cadangan projek Hotel Wakaf Kota Bharu bernilai RM20 juta setinggi 7 tingkat dengan 107 buah bilik di Lot 2136, Panji, Mukim Panchor, Jalan Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan. 
KOTA BHARU: Tahun 2015 ini merupakan tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), namun begitu masih terdapat beberapa buah projek utama di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) di Kelantan yang masih belum dimulakan. 

Antaranya adalah pembinaan sebuah hotel wakaf di bawah peruntukan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Panji, Mukim Panchor, Jalan Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu; sebuah hospital daerah di Bachok; dan sebuah zoo negeri di Machang. 

Di bawah RMK9, sebanyak lima buah hotel wakaf telah dirancang untuk dibina di bawah RMK9, iaitu di Taiping (Perak), Tanjung Kling (Melaka), Port Dickson (Negeri Sembilan), Kuala Terengganu (Terengganu), dan Kota Bharu (Kelantan).

Walau bagaimanapun, hanya empat buah hotel wakaf sahaja telah berjaya disiapkan kecuali di Kota Bharu, Kelantan yang masih belum dibina sehingga ke hari ini. Senarai hotel wakaf yang telah siap dan beroperasi boleh dilihat melalui pautan ini:- http://www.jawhar.gov.my/index.php/ms/senarai-hotel-wakaf.

Projek hotel wakaf ini apabila siap kelak akan diserah kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk diuruskan sama seperti empat lagi hotel wakaf yang telah diserahkan kepada majlis agama negeri masing-masing untuk diuruskan.

Oleh itu, pihak JAWHAR diminta meneruskan projek ini dan dalam masa yang sama pihak MAIK diharap dapat mengambil tindakan susulan dengan JAWHAR supaya projek ini dapat disegerakan.

Dalam pada itu, permasalahan ini juga diharap mendapat perhatian Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan, dan juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Sumber: Gerbang KBBRI | www.kbbri.blogspot.com

Nota: Artikel ini merupakan tulisan laman blog ini dan ia tidak dibenarkan disalin dan ditampal (copy & paste) di mana-mana laman blog termasuk laman berkaitan skyscraperscity.com. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan