Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 8 Jun 2015

Tangkapan kes dadah meningkat di Kota Bharu

Pengarah AADK Pahang, Abd Ghani Abd Rahman (kanan) menerima piala pusingan daripada Suhaimi sempena Kejohanan Futsal AADK Peringkat Kebangsaan, semalam.
KOTA BHARU: Jumlah penagihan dadah di Kelantan menunjukkan peningkatan mendadak dengan 2,502 kes dicatatkan sehingga Mei tahun ini.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Suhaimi Abdullah berkata, jumlah tangkapan tersebut melebihi angka keseluruhan kes sepanjang 2014

Menurutnya, pada 2014, sebanyak 2,426 kes dicatatkan dan 71 peratus iaitu 1,792 orang adalah penagih baharu.

Kumpulan yang paling besar terlibat dalam najis dadah ialah berumur kurang daripada 40 tahun iaitu hampir 90 peratus,” katanya kepada media, semalam.

Terdahulu, beliau menyempurnakan penutup Kejohanan Futsal AADK Peringkat Kebangsaan yang diadakan di KB Futsal Arena.

Suhaimi berkata, fenomena di Kelantan adalah lebih kepada penggunaan pil kuda, yang mana daripada 2,502 kes, sebanyak 1,746 atau 70 peratus didapati memilih bahan terlarang berkenaan.

“Penglibatan paling tinggi ini adalah berpunca daripada pengaruh rakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tangkapan kes dadah di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan.

Katanya, jumlah tangkapan yang tinggi melibatkan golongan remaja berusia 13 tahun ke atas.

“Berdasarkan siasatan, mereka ini terlibat dengan dadah pada usia lebih awal lagi dan ditangkap ketika umur 13 tahun.

“Rekod terkini, seorang remaja berusia 15 tahun ditahan kerana dadah dan didapati remaja tersebut telah terlibat dengan dadah sejak berumur 7 tahun lagi,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan terus memperkasakan program pencegahan di seluruh negara termasuk mendekati kumpulan sasar di sekolah dan di kampung melibatkan kawasan bandar serta luar bandar.

Selain itu katanya, AADK dengan kerjasama semua pihak telah mengenal pasti 178 kawasan berisiko di seluruh negara dan sebanyak 70 peratus telah dimusnahkan.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 8 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan