Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 10 Jun 2015

Pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir ‘lembab’


KUALA KRAI: 'Bah Kuning’ yang membadai negeri ini Disember tahun lalu telah meninggalkan kesan yang cukup dahsyat kepada rak­yatnya kerana bencana alam yang tidak pernah dijangka itu memusnahkan kehidupan mereka apabila beribu buah rumah musnah.

Namun selepas enam bulan malapetaka itu berlalu, nasib mang­sa bah kuning terutama di daerah ini dan Gua Musang masih terbiar, ada antara mereka masih tinggal di khemah serta kediaman sementara dalam keadaan serba kekurangan.

Ketika bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri semakin hampir, tiada apa yang diinginkan mang­sa terbabit selain terus berharap pihak bertanggungjawab ­me­nyiapkan kediaman kekal kepada mereka dalam tempoh segera.

Bagaimanapun apa yang menge­cewakan, pembinaan rumah kekal kepada 1,827 mangsa banjir seperti mana dijanjikan oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pas Kelantan amat ‘lembab’ dengan hanya 23 unit sahaja telah siap sepenuhnya.

Meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini memberi jaminan mampu menyiapkan rumah tersebut dalam tempoh 45 hari sekiranya tidak terdapat sebarang kekangan namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan positif.

Difahamkan punca utama kelewatan pembinaan rumah tersebut adalah disebabkan masalah tanah, bagaimanapun kedua-dua kerajaan melalui Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir Kelantan telah mengenal pasti beberapa kawasan untuk tujuan tersebut.

Setakat ini hanya 11 rumah kekal yang dibina oleh Kerajaan Pusat siap sepenuhnya manakala kerajaan negeri menyiapkan 12 unit.

Pada masa sekarang, Kerajaan Pusat dalam proses pembinaan sebanyak 434 buah manakala Kerajaan Pas Kelantan 422 buah rumah. Baki rumah yang belum dibina pula sebanyak 948 iaitu masing-masing 810 buah dibawah tanggungjawab Kerajaan Pusat dan 138 melalui kerajaan negeri.

Dalam pada itu, wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia yang meninjau keadaan mangsa banjir khususnya di daerah ini dan Gua Musang mendapati kebanyakan keluarga masih berteduh di khemah manakala selebihnya tinggal di kediaman sementara atau menum­pang di rumah saudara-mara.

Hasil tinjauan yang dijalankan di Gua Musang, terdapat 46 keluarga terus menjadi penghuni khemah di Kem Sementara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Bandar Utama di sini.

Lebih menyedihkan hampir setiap hari keluarga terbabit terpaksa berhadapan cuaca panas dan hujan, namun berbekalkan sema­ngat serta kesabaran mereka menempuh segala dugaan itu.

Sebelum ini, kem sementara itu dihuni lebih 100 keluarga, namun ramai yang berpindah ke Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani yang terletak kira-kira 12 kilometer dari sini.

Selain itu, terdapat juga mangsa yang kembali ke tapak rumah asal dan mendirikan pondok sendiri berikutan tidak tahan dengan kehidupan serta persekitaran yang tidak selesa di khemah.

Nasib mangsa banjir di daerah ini pula dilihat lebih baik apabila mereka sekurang-kurangjnya dapat berteduh dalam suasana agak selesa di rumah transit yang disediakan oleh pelbagai pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tinjauan di Manek Urai dan Dabong mendapati kebanyakan mereka mengambil keputusan untuk tinggal di rumah transit manakala selebihnya menumpang di rumah saudara masing-masing.

Untuk rekod, sebanyak 512 rumah transit atau sementara disediakan kepada mangsa banjir oleh NGO iaitu masing-masing 456 unit di Kuala Krai, 22 di Gua Musang, 30 di Machang dan empat buah di Tanah Merah.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 9 Jun 2015 | Terbitan 10 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan