KUALA NERUS: UDA Land East Sdn Bhd, anak syarikat UDA Holdings Berhad, terus mengukuhkan kedudukan di pantai timur Semenanjung menerusi projek pembangunan terbaharu 'UDA Sky' di Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bahagian Pembangunan Hartanah UDA, Datuk Mohamed Marzuk Mohamed Basir berkata projek kediaman bertingkat tinggi itu dijangka dilancar pada suku pertama 2016 dan siap pada 2018.
Ia menawarkan 348 unit pangsapuri berperkhidmatan serta 14 lot kedai dengan harga dari RM248,500 hingga RM1,372,500, katanya yang ditemui pemberita pada pada karnival perumahan 'UDA East Contempo Property Show' di laman Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR) Tok Jembal, di sini Sabtu.
Projek perumahan terbaharu UDA Land East di Terengganu itu menawarkan lima banglo dua tingkat dan lapan banglo tiga tingkat yang dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.
"Ketika ini banglo dua tingkat dengan keluasan 3,490 kaki persegi itu berbaki dua unit sahaja lagi manakala bagi banglo tiga tingkat berkeluasan 4,326 kaki persegi pula masih berbaki enam unit," kata Mohamed Marzuk.
Beliau berkata bagi banglo dua tingkat, harga yang ditawarkan ialah dari RM905,860 hingga RM1,126,356 manakala banglo tiga tingkat pula berharga RM1,119,855 hingga RM1,315,089, berdasarkan kepada keluasan tanah.
Mengenai pembangunan hartanah di Kuantan, Pahang, Mohamed Marzuk berkata projek kediaman Pelindung Height iaitu banglo dua tingkat yang dibangunkan UDA Land East, mendapat sambutan yang menggalakkan dengan 99 peratus sudah dijual.
Mengulas perkembangan berkaitan, Mohamed Marzuk berkata UDA Holdings Berhad menerusi bahagian UDA Property sedang giat mempromosikan produk hartanah jenama UDA di seluruh negara.
"Malah pada September nanti, UDA juga bakal mengadakan 'U4ria' yang merupakan karnival hartanah UDA yang ketiga seumpamanya diadakan secara serentak di seluruh negara," katanya.
Sumber: Bernama | 6 Jun 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan