Ariffin Awang Chik |
TUMPAT: Apabila Kelantan diumumkan antara negeri yang terlibat dalam projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600 kilometer (km) baru-baru ini, rata-rata rakyat negeri ini terkejut namun teruja dan menyambut baik perkara itu.
Keterujaan rakyat kemudiannya berganda apabila pada bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tambahan projek tersebut sepanjang 16 km dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor.
Sehubungan itu, negeri ini bakal memiliki lima stesen ECRL iaitu Tok Bali, Jelawat, Kota Bharu, Wakaf Bharu serta Pengkalan Kubor.
Seorang penduduk, Ariffin Awang Chik, 56, berkata, pada mulanya, dia terkejut dan tidak percaya projek ECRL turut melibatkan kampung halamannya di Pengkalan Kubor.
“Jujur saya katakan, kami tidak pernah bermimpi projek sebesar ini sampai ke Pengkalan Kubor. Memang saya amat teruja dan tidak sabar mahu melihat perkara ini menjadi kenyataan.
“Saya juga teruja apabila membayangkan bagaimana ekonomi penduduk di sepanjang laluan kereta api bakal berkembang pesat apabila projek ini siap kelak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang peniaga, Zaiton Hassan, 30, berkata, projek ECRL boleh diibaratkan seperti mimpi menjadi kenyataan dan dia amat berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Selama ini, rakyat Kelantan perlu menempuh perjalanan darat yang panjang sehingga 12 jam jika mahu ke Kuala Lumpur, terutama ketika musim perayaan. Apabila ECRL siap, tempoh perjalanan sudah pasti jauh lebih pendek.
“Memang inilah yang diimpikan oleh kami selama ini, lebih-lebih lagi rakyat Kelantan memang ramai merantau yang di negeri-negeri luar,” katanya.
Seorang buruh, Madi Abdullah, 34, berharap kerajaan menetapkan harga tiket ECRL yang berpatutan bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah berpeluang menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Saya gembira apabila mendapat tahu kerajaan mahu melaksanakan projek tersebut di negeri ini. Harap-harap tiketnya tidak terlalu mahal supaya kami yang berpendapatan rendah ini pun boleh menikmatinya,” katanya.
Bagi seorang kerani, Zawati Ibrahim, 37, menyifatkan Perdana Menteri merupakan sebagai seorang pemimpin yang adil kerana tetap berusaha membawa masuk projek berskala besar ke Kelantan.
“Beliau tidak membeza-bezakan mana-mana negeri, sebaliknya sentiasa berusaha merasai denyut nadi dan apa yang rakyat mahukan. Kami di Kelantan memang sudah lama dahagakan pembangunan seperti ini,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 16 April 2017 | Terbitan 17 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan