Bungkusan pil kuda bernilai RM4.7 juta yang dirampas polis dalam serbuan serbuan di sebuah rumah kosong berhampiran tebing Sungai Golok, Rantau Panjang, Khamis lalu. |
KOTA BHARU: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran pil kuda terbesar di negeri ini menerusi penahanan seorang lelaki yang memiliki 474,000 pil itu yang dianggarkan bernilai RM4.7 juta dalam serbuan di sebuah rumah kosong berhampiran tebing Sungai Golok, Rantau Panjang, Khamis lalu.
Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa kira-kira pukul 7.19 petang hasil intipan yang dilakukan pihak berkuasa.
Difahamkan, lelaki tersebut menerima upah sekitar RM300 sehingga RM400 untuk menyeludup barangan terlarang itu masuk ke negara ini.
Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejayaan tersebut merupakan rampasan pil kuda yang terbesar setakat ini.
Katanya, kegiatan tersebut dipercayai turut didalangi oleh sindiket dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut menerusi penahanan suspek.
“Siasatan lanjut itu penting bagi mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan membawa masuk dan mengedarkan pil kuda di negeri ini. Kita juga sedang mengesan pemilik rumah tersebut.
“Kita juga percaya pil kuda yang dirampas ini turut diedarkan untuk pasaran di Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Tambah Din, lelaki tersebut direman selama tujuh hari bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki tersebut negatif dadah selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Polis Kelantan akan terus mengekang kegiatan tersebut selaras dengan moto ‘Jihad Memerangi Dadah 2017’,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 1 April 2017 | Terbitan 2 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan