GUA MUSANG: Unit Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berpangkalan di Subang, Selangor melakukan penerbangan ihsan menghantar tiga pesakit Orang Asli termasuk seorang wanita sarat mengandung di Pos Belatim di sini ke Hospital Gua Musang (HGM) hari ini.
Mereka terdiri daripada dua kanak-kanak yang sakit tenat iaitu Ikhwan Firdaus Ali, berusia setahun dan Amy Danish Jimin, 2, kerana demam panas dan muntah-muntah sejak dua hari lepas.
Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata wanita terbabit pula Ani Amal, 20, sedang sakit untuk bersalin anak pertama.
"Penerbangan ihsan menggunakan helikopter jenis AW 139 itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang pukul 12.05 tengah hari tadi," katanya kepada pemberita di sini.
Mohd Farhan berkata penerbangan itu, tiba di Pos Belatim pukul 2.10 petang untuk mengambil pesakit berkenaan dan kemudiannya mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang di sini pukul 2.46 petang.
Kesemua pesakit berkenaan dibawa ke HGM dengan ambulans bomba.
Beliau berkata juruterbang pesawat itu ialah Kapten Sidik Abas bersama pembantu juruterbang Penolong Penguasa Kanan Mohamad Muizz Md Pisar serta lima orang kru.
Sumber: Bernama | 4 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan