Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 4 April 2017

Perkasa desak kaji semula kenaikan lesen perniagaan oleh MPKB-BRI

Che Asri Ali
KOTA BHARU: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Kerajaan Pas Kelantan supaya mengkaji semula kenaikan le­sen­ perniagaan yang dikenakan terhadap premis-premis di bandar raya ini.

Yang Dipertua Per­kasa Kelantan, Che Asri Ali berkata, tindakan tersebut telah menindas golo­ngan peniaga di saat mereka bergelut untuk hidup disebabkan kelembapan ekonomi negara.

Beliau berkata, pihaknya juga pelik kerana keputusan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) itu dibuat secara se­nyap-senyap tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada peniaga atau pemilik premis.

“Kebanyakan peniaga atau pemilik premis hanya mengetahui mengenai kenaikan lesen perniagaan selepas mereka mahu memperbaharui lesen pada Februari lalu, sebelum ini tidak ada sebarang notis dikeluarkan.

“Ketika sampai di kaunter di pejabat MPKB-BRI, baru mereka ta­hu lesen perniagaan dinaikkan dengan beberapa caj baharu dimasukkan, alasan yang diberikan ialah caj itu dikenakan selepas pe­meriksaan mengejut, bagi Perkasa alasan ini tidak boleh diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas majlis Pelantikan Ahli Jawatankuasa Wira Perkasa kawasan Parlimen Kelantan dan Lafaz Ikrar Kerahsiaan di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Wira Perkasa negeri, Burhanuddin Ruslan. Che Asri berkata, sewajarnya, Kerajaan Pas Kelantan khususnya MPKB-BRI mengkaji secara mendalam keadaan ekonomi pada hari ini sebelum menaikkan lesen perniagaan.

“Kita boleh lihat hari ini, kos sara hidup melambung tinggi dan kuasa beli rakyat semakin menurun yang secara tidak langsung menjejaskan perniagaan.

“Perkasa berharap Kerajaan Pas Kelantan mempertimbangkan perkara ini dan jangan hanya pandai menuduh orang sahaja menaikkan harga barang tetapi diri sendiri juga mengambil langkah yang sama,” kata­nya.

Dalam masa sama, beliau difahamkan cukai tanah juga te­lah dinaikkan, namun masih menung­gu maklumat lanjut.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 28 Mac 2017 | Terbitan 29 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan