Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 13 April 2017

Kelantan guna teknologi hijau tingkat kecekapan tenaga loji rawatan air

KOTA BHARU: Kelantan berhasrat menggunakan teknologi hijau bagi meningkatkan kecekapan tenaga terutama di loji rawatan air di seluruh negeri ini.

Berikutan itu Kelantan Utilities Mubarakan Holdings Sdn Bhd (KUM), Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (GAM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mencapai matlamat itu.

Pemangku Pengurus Besar KUM Mahadi Mokhtar berkata penggunaan teknologi hijau dalam meningkatkan kecekapan tenaga khususnya di loji rawatan air, dijangka dapat memberi penjimatan sekurang-kurangnya 30 peratus kepada penggunaan tenaga elektrik.

Kerjasama ini turut melibatkan pembangunan kecekapan tenaga bagi komponen sistem pembekalan air dan mempromosi penggunaan meter air pintar yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan, katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di sini.

Turut menyaksikan majlis itu Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga pengerusi KUM.

Sementara itu, Mahadi berkata KUM sedang meneliti cadangan penggunaan sistem pengangkutan menggunakan tenaga elektrik di Kelantan sebagai usaha mengaplikasikan teknologi hijau.

Beliau berkata perbincangan telah dilakukan dengan sebuah syarikat pengangkutan bas tempatan bagi merealisasikan rancangan tersebut.

Sumber
: Bernama | 12 April 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan