KUALA LUMPUR: Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 4.3 peratus tahun ini, manakala 4.5 peratus pada 2018 dipacu oleh subsidi kerajaan yang lebih tinggi, perbe lanjaan infrastruktur dan peningkatan eksport.
Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Sudhir Shetty berkata, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dikekalkan pada 4.3 peratus tahun ini kerana menjangkakan tekanan fiskal kekal pada kewangan awam walaupun berlaku peningkatan secara beransur-ansur dalam pertumbuhan perdagangan global dan kenaikan harga komoditi.
Katanya, kadar pertumbuhan Malaysia yang perlahan secara mendadak pada 2016 disebabkan kerajaan memperkenalkan dasar-dasar fiskal untuk diselaraskan dengan harga komoditi yang rendah.
“Kami juga menjangkakan permintaan domestik akan menjadi tunggak yang memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sepanjang tahun ini, dengan pasaran buruh yang stabil dan langkah menyokong pendapatan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), secara tidak langsung dapat mengukuhkan penggunaan swasta dalam masa terdekat.
“Sehubungan itu, apa yang boleh kita lihat, ialah pertumbuhan sederhana dalam tempoh tiga tahun akan datang, meningkat pada 2017 dan kemudiannya terus menunjukkan prestasi yang semakin baik pada 2018 dan 2019,” katanya selepas pembentangan Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik di sini hari ini.
Berdasarkan laporan itu, pertumbuhan di rantau ini akan terus dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh termasuk pelaburan awam dan swasta. Ia juga disokong oleh permintaan terhadap eksport yang semakin meningkat memandangkan pemulihan ekonomi di negara membangun dan pasaran baharu muncul.
Pemulihan yang perlahan dalam harga komoditi akan memberi manfaat kepada pengeksport komoditi di rantau ini tetapi tidak menjejaskan ekonomi pengimport komoditi di Asia Timur.
China juga akan terus mencatat pertumbuhan yang sederhana sekali gus mencerminkan langkah-langkah berkesan kerajaan untuk mengurangkan kapasiti berlebihan dan pengembangan kredit.
Negara ekonomi membangun dalam rantau ASEAN dijangka berkembang lebih pesat pada 2017 dan 2018 disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya, Filipina akan mendapat manfaat daripada perbelanjaan awam yang tinggi dalam infrastruktur, peningkatan pelaburan swasta, pengembangan kredit dan peningkatan kiriman wang sekali gus mendorong ekonominya berkembang 6.9 peratus pada 2017 dan 2018.
Di Indonesia pula, pengembangan kredit dan harga minyak yang tinggi akan membantu ekonomi negara berkembang 5.2 peratus tahun ini berbanding lima peratus pada 2016 manakala Vietnam dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi 6.3 peratus tahun ini sejajar dengan sentimen kecenderungan pasaran pelaburan langsung asing yang kukuh.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Kanan Bank Dunia bagi Malaysia, Dr. Rafael Munoz Moreno berkata, defisit fiskal Malaysia dijangka menyusut kepada tiga peratus tahun ini dan 2.8 peratus pada 2018 berbanding 3.1 peratus tahun lalu.
“Ini kerana terdapatnya pemulihan dalam harga komoditi dan minyak mentah yang secara tidak langsung memberi kelebihan kepada prospek pengukuhan fiskal kerajaan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Ekonomi | 13 April 2017 | Terbitan 14 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan