KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan menganggarkan 73 peratus penyebab kematian rakyat Malaysia adalah disebabkan penyakit tidak berjangkit.
Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Omar Mihat berkata penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan jantung mempunyai kaitan rapat dengan cara hidup tidak sihat masyarakat sejak usia remaja.
"Ia termasuk tabiat merokok, cara pemakanan tidak sihat dan kurang bersenam yang menjadi budaya sepanjang kehidupan dan selalunya sukar diubah.
"Penyakit tidak berjangkit juga dikesan dihidapi mereka yang berusia muda setiap tahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Kesihatan Remaja Kebangsaan di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH) Dr Maimon Alias dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher.
Dr Omar berkata berdasarkan kajian terhadap 25,507 orang remaja di Malaysia pada 2012, kementerian mendapati hanya 22.8 peratus daripadanya aktif manakala 19.1 peratus mengalami berat badan berlebihan dan 7.9 peratus obesiti.
Sementara itu, Kaji Selidik Tembakau dan E-Rokok dalam Kalangan Remaja Malaysia (TECMA) pada 2016 menunjukkan peningkatan jumlah perokok dalam kalangan remaja kepada 15.2 peratus berbanding 11.2 peratus pada 2012.
"Lebih membimbangkan, daripada pemeriksaan pergigian yang dijalankan tahun lepas mendapati tabiat merokok dikesan dalam kalangan pelajar seawal sekolah rendah lagi," atanya.
Beliau berkata pelbagai program dan pendekatan perlu diambil secara holistik bagi memperkasa usaha sedia ada untuk meningkatkan kesedaran berhubung amalan cara hidup sihat dalam kalangan remaja.
Menurutnya usaha secara berterusan perlu dilakukan dengan pembabitan semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Belia dan Sukan melalui program di peringkat sekolah.
Persekitaran dan budaya hidup sihat juga perlu diberi perhatian bagi menyediakan generasi masa depan yang sihat, sekali gus dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan, katanya.
Sumber: Bernama | 6 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan