KOTA BHARU: Pengayuh basikal Wan Hashim Wan Mahmood melahirkan hasrat mencipta sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai pengayuh basikal warga emas paling lama melakukan aktiviti tersebut.
Wan Hashim yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan, 72, berkata beliau akan melakukan kayuhan pada setiap tahun sehingga umurnya mencecah 80 tahun, jika usianya masih panjang.
"Saya akan melakukannya pada setiap tahun bagi membuktikan warga emas juga boleh melakukannya," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan Kayuhan 3,000 Kilometer Pak Wan Hashim di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Mohd Zailani Abd Rahman dan Pengurus Hotel Grand Riverview Vincent Chua.
Pak Wan dijadual melakukan kayuhan selama 43 hari meliputi Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia dan Singapura, diiringi Shahuri Awang@Saidi, wakil Kemudi, yang juga jurugambar sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Katanya, faktor usia bukan penghalang untuk beliau aktif bersukan, malah ia baik untuk kesihatan selain dapat mempromosi aktiviti berbasikal kepada rakan sebayanya.
Pak Wan pernah diiktiraf sebagai 'Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia' oleh MBR pada April 2014.
Pada 17 Jan 2015, beliau berjaya menamatkan misi jelajah lima negara Asia Tenggara secara solo selama 49 hari - lebih awal daripada jangkaan asal tiga bulan.
Beliau melakukan kayuhan sejauh 5,319 kilometer menjelajah Vietnam, Kemboja, Thailand, Singapura, Riau Indonesia, dan Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, Shahuri berkata impiannya untuk melakukan kembara berbasikal akhirnya tercapai menerusi kayuhan bersama Pak Wan kali ini.
"Sebelum ini hasrat untuk melakukan kembara memang ada dan semakin bersemangat selepas mengenali Pak Wan kerana saya orang pertama yang merakam aktiviti Pak Wan ketika beliau mula-mula melakukan kayuhan pada 2014," katanya.
Sumber: Bernama | 8 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan