Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 12 April 2017

'Superman tok wan dah sembuh'

Seha menunjukkan keadaan badan cucunya yang semakin pulih selepas menerima rawatan di hospital.
KULIM: Kanak-kanak yang melecur hampir seluruh badan akibat terjatuh ke dalam periuk berisi air panas ketika bergotong-royong di sebuah rumah kenduri pada hujung Januari lalu sudah sembuh.

Datuk mangsa, Seha Zain, 54, berkata, setelah beberapa bulan terbaring di atas katil dan ditahan di wad hospital, Muhamad Aizul Aiman Mohd Khairulnizam, 8, kini kembali aktif.

Seha berkata, cucunya itu masih mengikuti rawatan untuk melihat keadaan kulit yang baru ditampal di bahagian melecur setiap dua kali seminggu.

“Superman tok wan dah sembuh.Dia keluar hospital hujung bulan lalu. Hanya tinggal di bahagian paha kiri yang masih belum kering.

“Dia kembali aktif sejak keluar wad dan alhamdulillah luka melecurnya cepat sembuh. Sekarang dia hanya perlu ke hospital untuk rawatan susulan mencuci luka,” katanya.

Bagaimanapun, kata Seha, Muhamad Aizul masih tidak mengawal untuk menggaru kulitnya yang baru ditampal itu kerana gatal.

“Dia tak boleh berhenti garu kulit itu, katanya terlalu gatal. Saya bimbang luka dan berdarah.

“Kadang-kadang dia sering menangis terutama waktu malam sebab tak tahan dengan kulitnya yang gatal, tapi saya harap keadaan kulitnya kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

Tambah Seha, dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan kos rawatan dan melawat cucunya itu sepanjang menerima rawatan di hospital.

“Terima kasih kepada semua yang membantu dari segi wang ringgit ataupun kata semangat untuk cucu saya kembali pulih dan melakukan apa digemarinya,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Aizul berkata, dia tidak sabar untuk ke sekolah berjumpa rakan-rakan setelah beberapa bulan dirawat di wad hospital.

“Saya tak sabar nak jumpa kawan-kawan di sekolah, nak main sama-sama. Saya seronok sebab dah boleh main seperti biasa dan tak sakit lagi,” katanya.

Pada hujung Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Muhamad Aizul melecur hampir seluruh badan akibat terjatuh ke dalam air panas di sebuah rumah kenduri.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Utara | 10 April 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan