Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 13 April 2017

10 negara luar sertai Separa Maraton Antarabangsa Kelantan 2017

Rosmadi (dua, kiri) merasmikan Pelancaran Kelantan International Half Marathon 2017, di sini.
KOTA BHARU: Lebih 10 negara luar telah mengesahkan penyertaan peserta mereka dalam Separa Maraton Antarabangsa Kelantan 2017 yang akan berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Sabtu ini.

Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN), Datuk Rosmadi Ismail berkata, sehingga kini pihaknya telah menerima lebih 8,000 penyertaan keseluruhan melibatkan empat kategori yang dipertandingkan.

"Memang kita sasarkan lebih 8,000 penyertaan daripada pelari-pelari profesional dari dalam dan luar negara, kelab-kelab larian, pelajar institut pengajian tinggi (IPT), pelajar sekolah dari seluruh kawasan. Alhamdulilah, harapnya semua akan berjalan lancar nanti,"katanya kepada media di sini.

Beliau merasmikan Majlis Pelancaran Separa Maraton Antarabangsa Kelantan 2017, di KB Mall, yang turut dihadiri oleh Pengarah MSN Kelantan, Datuk Noordin Awang.

Menurutnya, di antara negara luar yang terlibat ialah Jepun, China, Thailand, Kenya dan pelari profesional dari dalam negara yang akan mempertaruhkan stamina mereka bagi merebut hadiah dengan nilai keseluruhan RM80,000.

Beliau berkata, program julung kali diadakan di sini itu merupakan cetusan idea Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semasa merasmikan Fit Malaysia peringkat negeri Kelantan, 2015 lalu.

"Selain itu ia juga untuk memupuk semangat kesukanan selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat. Dengan sambutan yang menggalakkan ini, Insya-Allah kita boleh pertimbangkan untuk jadikan ia acara tahunan selepas ini," katanya.

Pelbagai aktiviti menarik menanti orang ramai seperti pemeriksaan kesihatan percuma, promosi pengajian oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM), perkhidmatan daripada Pos Malaysia Berhad, Red One dan pelbagai lagi.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 12 April 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan