PASIR PUTEH: Keluarga atau ibu bapa yang mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU) diminta tidak berasa malu atau segan untuk mendaftar golongan istimewa tersebut dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd. Anis Hussein berkata, anak-anak OKU memerlukan perhatian sewajarnya termasuk soal pendidikan dan perkara itu merupakan tugas JKM yang selama ini diwujudkan untuk membela nasib golongan tersebut.
“Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk tidak berasa segan mendaftar anak-anak OKU dengan JKM. Mereka perlukan bimbingan dan pendidikan.
“Ada bentuk pendidikan yang khusus untuk mereka sama ada di sekolah harian biasa mahupun di Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan jangan sampai ada yang tercicir daripada pelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Insan Istimewa Kelantan (Insani) Kali Ke-18 di Dewan Rufaida Hospital Tengku Anis (HTA), di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohd. Anis berkata, penubuhan persatuan OKU mempunyai banyak fungsi mencakupi kekuatan untuk memperjuangkan hak, kebajikan dan keperluan golongan tersebut.
“Persatuan atau kelab yang menghimpunkan warga OKU terus mendapat perhatian kerajaan.
“Perhatian yang diberikan itu menjadi dorongan kepada OKU meneruskan kehidupan dengan lebih bersemangat tanpa perlu merendah diri dengan kekurangan diri,” katanya.
Menurut beliau, Insani merupakan salah satu daripada 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini yang sering bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh (PTJPP) dalam menjalankan pelbagai aktiviti sosial.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 3 April 2017 | Terbitan 4 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan