KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menghulurkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Majlis Agama Islam Narathiwat untuk membaik pulih masjid yang rosak akibat banjir di wilayah selatan Thailand itu.
Timbalan Yang Dipertua MAIK Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata sumbangan tersebut disampaikannya kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat Safiee Ibrahim pada Sabtu lepas.
"Pemberian sumbangan tersebut selepas mendapat perkenan daripada Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang juga Yang Dipertua MAIK," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Nik Mohd Azlan berkata terdapat banyak masjid di wilayah tersebut rosak akibat banjir yang berlaku pada Disember dan Januari lepas terutama melibatkan permaidani, kipas angin, alat siar raya dan perabot.
Beliau berkata sumbangan itu diharap dapat membantu menyediakan masjid yang selesa untuk kegunaan umat Islam di wilayah tersebut.
Sebelum ini, banyak pihak termasuk Kerajaan Negeri Kelantan turut menghulurkan sumbangan bagi membantu penduduk yang ditimpa bencana di wilayah yang berjiran (bersempadan) dengan negeri ini, katanya.
"Ketika banjir besar melanda Kelantan pada 2014 lalu, banyak pihak dari wilayah tersebut yang datang membantu penduduk negeri ini," kata Nik Mohd Azlan.
Dalam lawatannya ke wilayah tersebut, beliau mendapati penduduk di sana begitu gembira menerima sumbangan berkenaan yang merupakan tanda ingatan persaudaraan.
Sumber: Bernama | 3 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan