Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 4 April 2017

UTC Kelantan beri manfaat besar 
kepada rakyat

Sheikh Ahmad Dasuki
KOTA BHARU: Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan yang terletak bersebelahan Pusat Beli-belah KB Mall di sini memberikan manfaat cukup besar kepada rakyat bagi mendapatkan perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan.

Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, kewujudan UTC menjadikan urusan rakyat lebih mudah dan cepat.

Menurutnya, ia terbukti apabila urusan membuat pas sempadan hanya mengambil masa sekitar 30 minit untuk disiapkan dan keadaan itu menjadi lebih hebat apabila layanan diberikan oleh kakitangan bertugas cukup ramah serta mesra selaras dengan kehendak kerajaan.

"Sebagai rakyat Kelantan, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mewujudkan UTC.

"Kewujudan UTC ini merupakan satu rahmat yang cukup besar buat rakyat Kelantan dalam mendapatkan perkhidmatan daripada agensi kerajaan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sheikh Ahmad Dusuki memberitahu, pembukaan UTC juga jelas menunjukkan Najib cukup memahami denyut nadi rakyat dengan menyediakan kemudahan terbaik untuk mendapatkan khidmat dari kerajaan.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan membina sebuah lagi pusat yang sama untuk kemudahan rakyat di kawasan pedalaman.

"Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh kakitangan di UTC. Kecemerlangan ini perlu diteruskan bagi memastikan perkhidmatan kerajaan sentiasa berada pada tahap terbaik," ujarnya.

UTC Kelantan yang menempatkan 27 agensi kerajaan dan negeri itu mula beroperasi pada 4 Oktober 2016 dan dirasmikan Najib pada 12 Mac lalu.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 1 April 2017 | Terbitan 2 April 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan