MACHANG: Ratusan ekor kera hutan yang sejak dua tahun lepas menganggu kehidupan kira-kira 1,500 penduduk di lima kampung dalam Mukim Joh di sini, bertindak ganas apabila menyerang seorang penduduk pada Isnin lepas.
Susulan kejadian serangan itu, penduduk Kampung Padang Luar, Kubang Belut, Banggol Pak Awang, Pak Gombak dan Maka berharap pihak berkuasa relevan segera mengambil tindakan.
Sebelum ini kera liar berkenaan secara berkumpulan turut merosakkan harta benda awam seperti kubah masjid, atap, dawai alat pembesar suara, tanaman seperti pisang dan kelapa.selain masuk ke dalam rumah penduduk untuk mengambil makanan.
Menceritakan kejadian diserang kera pada Isnin lepas, pekerja kantin Sekolah Kebangsaan Joh, Siti Haryati Ismail, 45, berkata kejadian berlaku ketika dia sedang menunggang motosikal.
"Ketika itu, saya dalam perjalanan ke tempat kerja dan melalui kawasan sekumpulan kera yang bergayutan di pokok-pokok di tepi jalan sebelum salah seekor binatang tersebut melompat ke arah saya.
"Akibatnya saya terjatuh dari motosikal dan menyebabkan saya cedera ringan di lengan kanan dan lebam di beberapa bahagian badan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Siti Haryati berkata kejadian itu menyebabkan dia berasa serik untuk melalui jalan berkenaan dan terpaksa bergantung kepada suaminya untuk menghantar dan menjemputnya pulang dari tempat kerja setiap hari.
Seorang lagi penduduk Nik Abdul Majid Omar, 76, bimbang dengan keselamatan kanak-kanak yang pergi dan pulang dari sekolah terutama jika mereka berjalan kaki secara bersendirian.
Menurutnya sebelum ini pernah berlaku kejadian seorang murid dikejar oleh sekumpulan kera namun kanak-kanak itu berjaya menyelamatkan diri.
Katanya kumpulan kera berkenaan dipercayai memasuki kawasan kampung selepas habitat haiwan itu dimusnahkan bagi tujuan pembukaan ladang kelapa sawit dan projek perumahan.
Sumber: Bernama | 18 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan