Masyarakat digesa bersama dengan MDT bagi merealisasikan impian menjadikan bandar Tumpat bersih dan bebas sampah sarap. Gambar hiasan. |
TUMPAT: Masyarakat diingatkan supaya tidak memandang rendah, sebaliknya menghormati petugas Majlis Daerah Tumpat (MDT) yang melakukan kerja-kerja pembersihan terutama memungut sampah setiap hari.
Yang Dipertua MDT, Rosnazli Amin berkata, kerja tersebut merupakan satu tugas yang mulia dan perlu dihormati kerana menjadi insan di sebalik usaha mewujudkan persekitaran sihat dalam kalangan masyarakat.
“Saya cukup mengagumi petugas kebersihan kerana sanggup berdepan sampah sarap serta bau yang kurang enak setiap hari demi keselesaan orang lain.
“Cuba bayangkan jika tiada orang yang sanggup melakukan kerja itu, saya percaya sampah menjadi bertimbun-timbun di seluruh kawasan kediaman kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rosnazli memberitahu, pihaknya berharap orang ramai tidak melepaskan tanggungjawab menjaga kebersihan kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata sebaliknya turut bersama-sama menggalas tugas itu.
Katanya, MDT sedang berusaha keras mengubah imej kawasan seliaannya menjadi kawasan bebas sampah, namun usaha tersebut menjadi lebih muda jika masyarakat turut memainkan peranan menjaga kebersihan terutama di kawasan kediaman masing-masing.
“Masyarakat perlu turut sama memainkan peranan tersebut bagi merealisasikan impian untuk melihat bandar Tumpat menjadi bersih dan bebas sampah sarap,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 17 April 2017 | Terbitan 18 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan