Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 16 April 2017

Festival Silat Kebangsaan di Kota Bharu dari 21 - 22 April ini

Datuk Md. Anizam Abd Rahman (kopiah putih) bersama sebahagian guru-guru silat menunjukkan demonstrasi bunga silat dalam sidang akhbar di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Lebih 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Silat Kebangsaan Kelantan 2017 yang dijadual berlangsung di Gelanggang Seni, di sini pada 21 dan 22 April depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abd. Rahman berkata, program itu melibatkan penyertaan 400 pesilat dari enam negeri iaitu Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Kuala Lumpur dan Kelantan.

Beliau berkata, festival tahunan itu dimulakan dengan Pertandingan Seni Silat Jatuh - Juara Antara Juara pada malam 21 April selain perarakan penuh pesilat yang berbusana lengkap di sekitar jalan utama bandar ini pada pagi 22 April.

“Kita juga mengadakan pameran sejarah silat, aktiviti pertubuhan silat dan kesenian senjata yang digunakan dalam seni bela diri Melayu ini.

“Selain itu terdapat persembahan silat sepanjang hari pada 22 April yang mana orang ramai berpeluang melihat sendiri keaslian pelbagai perguruan silat di Kelantan dan negeri-negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Md. Anizam berkata, festival anjuran kerajaan negeri melalui Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Gabungan Seni Silat Warisan Nusantara Kelantan (WARIS) dibuka secara percuma kepada orang ramai.

“Kita berharap masyarakat terutama golongan muda tidak melepaskan peluang untuk mendekati barisan pesilat dan pendekar yang masih gigih mempertahankan warisan bangsa ini,” katanya.

Sumber: Utusan Online | 16 April 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan