Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 13 April 2017

Peniaga minta tambah pengawal keselamatan di Bazar Siti Fatimah Rantau Panjang

Peniaga mendakwa berlaku pencerobohan di Bazar Siti Fatimah yang dikenali juga sebagai Pasar Rantau Panjang, pada tengah malam.
RANTAU PANJANG: Peniaga di Bazar Siti Fatimah dekat sini, meminta pihak berkenaan menambah pengawal keselamatan di premis itu bagi mengelakkan berlakunya pencerobohan.

Gesaan itu dibuat berikutan ada peniaga yang mendakwa berlaku pencerobohan di bazar berkenaan pada tengah malam.

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd berkata, sebelum ini, dia pernah terserempak dengan pasangan remaja yang bersembunyi dalam premis kosong.

“Ketika tu, saya lihat pasangan ni keluar dari premis jam 9 pagi masa peniaga buka kedai.

“Saya bimbang jika masalah ni dibiarkan, lagi ramai remaja akan menceroboh kawasan bazar ini sekali gus berlaku kecurian," katanya.

Mohd berkata, bazar itu hanya dilengkapi dengan pintu berkunci di tingkat atas dan tingkat bawah pula menggunakan konsep terbuka.

Sementara itu, Yang Dipertua Bazar Siti Fatimah, Zamri Idris berkata, pihaknya menafikan berlaku kes pencerobohan di kawasan bazar itu.

Menurutnya, bazar berkenaan dilengkapi dengan dua pengawal keselamatan malah berkunci selepas tempoh urus niaga.

“Saya tak terima sebarang laporan berhubung masalah ini, namun setiap masalah peniaga akan diteliti dan kami akan rujuk dengan pihak berkuasa dengan segera,” katanya.

Pada 9 Disember lalu, sebuah premis hangus hampir 100 peratus manakala beberapa kedai yang lain terjejas dalam kebakaran jam 1 pagi.

Difahamkan kejadian itu menyebabkan timbul pelbagai dakwaan antaranya disebabkan ada unsur-unsur sabotaj.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 13 April 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan