KOTA BHARU: Lebih 9,000 peserta termasuk pelari profesional dari luar negara menghangatkan Separa Maraton Antarabangsa Kelantan 2017 yang berlangsung di sini hari ini.
Program peringkat antarabangsa yang julung kali diadakan di negeri itu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Pelepasan peserta yang membabitkan empat kategori iaitu 21 kilometer (km), 10km, 5km dan 3km itu disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri turut menyertai dan menamatkan larian dalam kategori 3km.
Khairy berkata, penganjuran julung-julung kalinya acara tersebut di negeri ini mendapat sambutan yang cukup hebat apabila menarik lebih 9,000 penyertaan termasuk melibatkan pelari profesional dari beberapa negara luar.
Sehubungan itu katanya, program tersebut bakal dijadikan sebagai acara tahunan di negeri ini.
“Acara besar seperti ini akan kita bawa ke setiap negeri. Semua negeri ada larian peringkat antarabangsa termasuk Perlis. Hanya Kelantan tidak pernah menganjurkan acara tersebut sebelum ini.
“Dua tahun lalu saya ada berjanji untuk mengadakan acara ini di Kelantan dan hari ini telah ditunaikan. Melihat kepada sambutan yang cukup hebat, maka kita teruskan acara ini di Kelantan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya kepada pemberita di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kelantan International Half Marathon 2017, Datuk Rosmadi Ismail dan Timbalan Pengerusi MSN negeri, Mohamad Azam Ismail.
Dua pelari profesional dari Kenya iaitu James Barmasai, 32, dan Cynthia Chelagat Towett, 26, masing-masing memenangi tempat pertama bagi kategori Lelaki dan Wanita Terbuka yang melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000.
Sumber: Utusan Malaysia | Sukan | 22 April 2017 | Terbitan 23 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan