Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 11 April 2017

Sampai bila kami 
mahu bayar ‘bil angin’?

Sebahagian penduduk menunjukkan bil yang tidak setimpal dengan kualiti air yang dinikmati di Kampung Tok Junoh, Bachok, Kelantan, semalam.
BACHOK: Kira-kira 100 keluarga di Kampung Tok Junoh di Mukim Kolam, di sini mendakwa dibebani bil air tidak munasabah biarpun tidak dapat menikmati perkhidmatan tersebut sejak dua tahun lalu.

Mereka mendakwa, caj tersebut digelar ‘bil angin’ kerana sejak dua tahun lalu, hanya tekanan angin yang keluar dari paip air rumah masing-masing.

Wakil penduduk, Maizan Daud, 53, berkata, aduan berhubung perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) pada awal 2015 namun masalah sama berlarutan sehingga sekarang.

“Kami tidak dapat menikmati bekalan air bersih namun dalam masa sama, kami masih perlu membayar bil yang dikeluarkan setiap bulan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Maizan mendakwa, syarikat tersebut seolah-olah bersikap lepas tangan apabila menolak aduan penduduk dari satu cawangan kepada cawangan lain.

“Saya pernah melaporkan masalah itu di cawangan Bachok namun mereka memaklumkan perkhidmatan air di kampung kami adalah di bawah seliaan cawangan Chicha.

“Apabila saya menghubungi pejabat di Chicha, petugas memaklumkan ia di bawah pe­ngurusan cawangan Pasir Puteh pula. Apabila kami hubungi cawangan Pasir Puteh, mereka minta kita membuat aduan kepada cawangan di Cicha.

“Aduan kami asyik ditolak ke sana ke mari tanpa ada sebarang penyelesaian sehingga hari ini. Sepatutnya mereka di bawah syarikat sama boleh berhubung sesama sendiri, tidak perlulah menolak kami dari satu cawa­ngan ke cawangan lain,” kata­nya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Azmi Yusof, 51, berkata, ketiadaan bekalan air bersih menyebabkan penduduk tidak mempunyai pilihan selain menggunakan telaga tiub dan perigi.

“Air di kampung kami ber­kualiti ‘masam kelat’ atau se­dikit berasid menyebabkan pa­-
kaian putih berubah warna menjadi kekuningan apabila dicuci. Kami terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan bekalan air yang benar-benar bersih.

“Lebih membebankan apabila bil air yang diterima setiap bulan kini tertunggak sehingga mencecah RM200 dan pihak AKSB menuntut supaya kami membayar tunggakan tersebut. Bagaimana mahu bayar kalau tidak guna,” katanya.

Mohd. Azmi berkata, mereka enggan melunaskan bil tertunggak berkenaan dan menggesa pihak AKSB memansuhkannya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Operasi dan Pengeluaran AKSB, Safrurazi Salleh ketika dihubu­ngi berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap aduan penduduk dan mengakui kawasan tersebut mempunyai masalah tekanan air sejak 2015.

“Bermula bulan ini, AKSB telah menjalankan ujian ke atas Loji Merbau Chondong yang sedang dinaik taraf dan kita jangka bekalan air di Kampung Tok Junoh pulih secara beransur-ansur dalam tempoh dua minggu,” katanya.
 
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 10 April 2017 | Terbitan 11 April 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan