Suasana di sebuah pasar malam (gambar hiasan) |
KOTA BHARU: Arahan larangan berniaga pasar malam pada waktu Maghrib yang dikenakan kerajaan Kelantan hanya dikuatkuasakan kepada peniaga beragama Islam, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Datuk Ab Fattah Mahmood.
Sehubungan itu katanya, peniaga dan pengunjung pasar malam yang bukan beragama Islam boleh berurus niaga pada waktu penutupan operasi perniagaan waktu Maghrib selama 10 minit yang dikuatkuasakan ke atas peniaga dan pengunjung Islam.
“Arahan penutupan perniagaan tersebut bertujuan memberi keselesaan kepada peniaga Islam untuk menunaikan solat Maghrib kerana waktunya agak singkat iaitu lebih kurang satu jam sahaja. Kalau kita tidak wujudkan satu waktu khusus kepada mereka dibimbangi mereka akan terlepas menunaikan ibadat wajib itu sedangkan solat itu tiang agama.
"Sehubungan itu peniaga dan pengunjung bukan Islam tidak perlu bimbang kerana tiada larangan yang kita tetapkan untuk mereka berurus niaga pada waktu tersebut," katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Ab Fattah mengulas tindakan beberapa pihak termasuk Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa yang mempersoal arahan kerajaan negeri itu dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang menyifatkan arahan itu tidak sah dan tidak mempunyai asas dalam undang-undang.
Ab Fattah berkata dasar penutupan operasi pasar malam pada waktu Maghrib yang diperkenalkan di Kelantan sejak 1995 tidak sepatutnya dijadikan pertikaian atau diperbesarkan kerana ia telah diterima baik oleh rakyat negeri ini.
"Selama ini kita tiada sebarang masalah berhubung dasar ini sehinggalah ada individu yang cuba memutarbelit dan mempolitikkan isu ini. Kita rasa sangat sedih kerana langkah yang kita laksanakan bertujuan membentuk peniaga yang taat kepada perintah Allah selaras dengan dasar membangun bersama Islam di negeri ini," katanya.
Tambahan pula kata Ab Fatah berdasarkan Akta 171 di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), PBT mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan arahan am menyentuh kepentingan di kawasan masing-masing.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga berhasrat memilih pasar malam tertentu untuk diberi penganugerahan berdasarkan beberapa kreteria termasuk pematuhan kepada dasar yang ditetapkan kerajaan negeri itu.
Sumber: Bernama | 20 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan