Roslan (empat, kiri) menyerahkan tong sampah sumbangannya kepada Tengku Azmi. |
KUALA KRAI: Bagi merealisasikan hasrat melihat Kuala Krai menjadi bandar bersih, sebanyak 500 tong sampah sumbangan Adun Guchil, Mohd Roslan Puteh diagih kepada Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK).
Mohd Roslan berkata, inisiatif ini dibuat setelah melihat tahap kebersihan di selatan Thailand ketika melawat negara itu, baru-baru ini.
Menurutnya, kemudahan tong sampah bersaiz kecil banyak disediakan di tepi jalan bagi mengelak orang ramai membuang sampah di merata tempat.
“Cara itu ternyata berkesan kerana tahap kebersihan di selatan Thailand berada pada tahap membanggakan.
“Sukar untuk melihat sampah di sana, jadi saya berhasrat untuk melihat keadaan serupa di daerah ini,” katanya ketika penyerahan tong sampah kepada Yang Dipertua MDKK, Tengku Azmi Tengku Jaafar di padang MDKK, di Guchil.
Roslan berkata lagi, bagi merealisasikan matlamat itu memerlukan kerjasama anggota masyarakat dan pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, semua pihak perlu memahami konsep asas kebersihan yang turut dituntut agama.
“Bagi orang beragama Islam, perkara utama kita digalakkan untuk menjaga kebersihan fizikal dan dalaman.
“Bagi melihat bandar Kuala Krai bersih, saya memohon kerjasama individu, badan bukan kerajaan serta pihak berkemampuan untuk sama-sama menyumbang.
"Pihak berkuasa tempatan masih memerlukan beberapa peralatan, justeru semua pihak boleh membantu agar Kuala Krai akan menjadi daerah bersih,” katanya.
Sementara itu, Tengku Azmi berkata, beliau akan menitik beratkan aspek kebersihan dan memastikan pekerja terus fokus kepada aspek tersebut.
"Masih banyak peralatan diperlukan untuk melancarkan kerja pembersihan termasuk pelbagai jenis mesin pembersihan, mesin rumput, lori sapu jalan, lori untuk kegunaan memotong pokok serta tong sampah besar," katanya.
Mengulas mengenai keadaan padang MDKK, katanya, hingga kini beliau belum berpuas hati dengan keadaan padang itu.
“Kita akan keluarkan peruntukan untuk membersihkan padang ini seterusnya menyediakan kemudahan asas di sini.
“Mana-mana pihak boleh menggunakan padang ini dengan membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 21 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan