Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 13 April 2017

10,000 peserta dijangka sertai Separa Maraton Antarabangsa Kelantan 2017

KOTA BHARU: Kira-kira 10,000 peserta dijangka menyertai Separa Maraton Antarabangsa Kelantan (KIHM) 2017 yang akan berlangsung di Kota Bharu pada 22 April ini.

Pengerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan Datuk Rosmadi Ismail berkata kejohanan julung kali diadakan di Kelantan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM80,000.

"Setakat ini, pihak kami sudah menerima penyertaan daripada 15 buah negara untuk bersaing dalam empat kategori iaitu larian 21 kilometer (km), 10km, 5km dan 3km bermula di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung di sini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Antara laluan kejohanan itu ialah jalan raya Salor, Kampung Sireh, Jambatan Sultan Yahya Petra dan bandar Kota Bharu. Kesemua peserta akan berakhir di RTC.

Peserta luar negara antaranya dari China, Jepun, Singapura, Thailand, Kenya, Indonesia dan United Kingdom.

Rosmadi berkata kejohanan tersebut akan dijadikan acara tahunan bagi MSN Kelantan untuk mempromosikan negeri itu kepada masyarakat luar selain dijadikan platform memupuk semangat bersukan di kalangan masyarakat.

"Kejohanan tersebut selaras dengan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan dalam mentransformasikan Malaysia sebagai negara membangun dalam bidang sukan," katanya.

Sementara itu, Rosmadi berkata Kelantan juga akan terlibat dalam larian Obor 'KL2017' dari 15 hingga 17 Julai depan merentasi enam jajahan iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Mas bagi menyemarakkan Sukan SEA ke-29 Ogos ini," katanya.

Sumber: Bernama | 12 April 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan