Gambar hiasan. |
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan pelbagai kaum, agama dan lapisan masyarakat hari ini menzahirkan rasa sukacita atas pertabalan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 yang berlangsung di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Seri Paduka yang terkenal dengan sifat prihatin terhadap rakyat akan membawa lebih kemakmuran kepada Kelantan dan Malaysia.
“Rakyat Kelantan sungguh gembira, kita mengenali dekat Seri Paduka iaitu seorang raja yang amat prihatin kepada rakyat, baginda dekat dengan rakyat dan bersederhana," katanya.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap di bawah pemerintahan Seri Paduka, Kelantan akan maju seiring dengan negeri lain dalam semua bidang.
Anggota Exco Majlis Jaksa Pendamai Kelantan Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata Seri Paduka memiliki ilmu, keperibadian dan kebijaksanaan yang tinggi, sekaligus mampu memberi inspirasi kepada rakyat.
Rosdi berkata dengan kewibawaan dan sikap kepimpinan tersebut, beliau yakin Seri Paduka akan memacu dan membawa imej negara ke arah yang lebih baik.
Beliau berkata dengan pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong hari ini akan memberi lebih kuasa kepada baginda untuk terus memayungi rakyat secara menyeluruh sepertimana yang dilaksanakan di Kelantan selama ini.
"Ketika menghadap, Seri Paduka selalu mengutarakan pelbagai idea bernas atau di luar kotak berhubung pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat dan baginda mempunyai kelebihan untuk berbicara mengenai apa sahaja isu yang diutarakan," katanya.
Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan Prof Tim Chau Dam berkata walaupun masyarakat Siam di Kelantan hanya berjumlah kira-kira 18,000 orang sahaja, namun masyarakat tersebut berjanji untuk menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka selaku raja yang memerintah negara ini.
“Walaupun tidak mengenali Seri Paduka secara peribadi tetapi banyak gambaran yang disebarkan khususnya melalui media sosial menunjukkan baginda seorang yang mesra dan tidak mementingkan protokol apabila bertemu dengan rakyat," katanya.
Pengerusi Persatuan Fizikal dan Kebudayaan India Kelantan Ganthi Raja Perumal berkata walaupun Sultan Muhammad V dikenali sebagai seorang yang taat mengamalkan ajaran Islam, namun beliau yakin Seri Paduka dapat menjaga kesucian agama yang dianuti oleh pelbagai kaum di negara ini.
"Seri Paduka dilihat seorang pemimpin yang prihatin terhadap rakyat jelata tidak kira kaum dan penganut mana-mana agama, malah baginda sentiasa mencemar duli turun padang untuk bertemu dengan rakyat jelata.
“Masyarakat India percaya pemerintahan Seri Paduka akan dapat meningkatkan lagi sektor ekonomi di negara ini," katanya.
Pemain bola sepak Kelantan Nik Mohd Shahrul Azim Abd Halim pula berharap Sultan Muhammad V akan dapat memajukan lagi arena sukan di negara ini khususnya bola sepak menerusi idea-idea yang lebih segar.
Sumber: Bernama | 24 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan