Mohd. Fadlee Hassan (dua dari kanan) dan Salleh Kasim bertukar-tukar dokumen perjanjian jual beli tembikai wangi di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. |
KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan akan membantu memasarkan sebanyak 500 tan metrik tembikai wangi yang diusahakan sekumpulan petani di Kampung Banggol, di sini.
Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Sharifah Hashim berkata, tembikai tersebut dianggarkan bernilai RM800,000 dan diusahakan oleh 29 peserta Ladang Kontrak Agrotourism Kampung Banggol sejak 2002.
“Dengan kerjasama FAMA, tembikai wangi yang dihasilkan oleh peserta ladang itu akan kita bantu pasarkan ke seluruh negara sepanjang musim buah itu kali ini.
“Memandangkan buah tersebut berkualiti ladang dan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, kita juga berhasrat mahu memasarkannya ke negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand,” katanya selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tembikai Wangi Antara FAMA dengan Peserta Ladang Kontrak Agropelancongan Kampung Banggol di sini baru-baru ini.
FAMA diwakili oleh Pengurus Operasi FAMA Jajahan Kota Bharu, Mohd. Fadlee Hassan, manakala Ladang Kontrak Agropelancongan Kampung Banggol diwakili salah seorang peserta, Salleh Kasim.
Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Khari Yusof. Dalam majlis itu juga, FAMA membuat bayaran pembelian berjumlah RM250,000 kepada 15 peserta ladang kontrak kampung itu.
Dalam perkembangan lain, Sharifah berkata, FAMA sentiasa mengalu-alukan mana-mana peladang atau petani yang mahu melibatkan diri dengan bidang agropelancongan secara serius bagi menambah pendapatan masing-masing.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 20 April 2017 | Terbitan 21 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan