Rozainee Nawawi (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan keperluan set jenazah kepada wakil Masjid Binjal, Pasir Mas, Kelantan, semalam. |
PASIR MAS: Gerakan Elit 1Malaysia (GRE1M) telah menyerahkan sumbangan berupa set kelengkapan pengurusan jenazah membabitkan peruntukkan berjumlah RM32,000 kepada waris bagi membantu meringankan beban mereka.
Pengerusinya, Rozainee Nawawi berkata, jumlah tersebut melibatkan seramai 80 penerima dari seluruh negeri ini sejak ia diperkenalkan pada tahun lalu.
Menurutnya, set yang berjumlah RM400 setiap satu ini lengkap dengan segala peralatan diperlukan untuk urusan itu termasuklah kain sarung.
“Kita sediakan set ini bagi membantu keluarga waris dan mereka tidak lagi perlu bersusah payah untuk mendapatkan kelengkapan tersebut.
“Besar harapan kami, agar sumbangan kecil ini dapat membantu meringankan beban waris,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kelengkapan jenazah kepada Masjid Mukim Binjal, Tok Uban di sini hari ini.
Rozainee memberitahu, membantu golongan kurang berkemampuan merupakan satu kepuasan buat seluruh warga GRE1M.
Katanya, pihaknya akan terus berusaha untuk mengumpul dana bagi membanyu meringankan beban golongan tidak bernasib baik.
“Selain membantu, kami turut memberikan cadangan dan idea serta bimbingan kepada penerima untuk keluar daripada kepompong kemiskinan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rozainee berkata, GR1M yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tekad membela nasib golongan asnaf dan kurang berkemampuan di negeri ini.
Katanya, walaupun NGO itu berpengkalan di Kota Bharu namun ia bukan satu masalah untuk pihaknya turun padang bagi membantu golongan berkenaan.
“Membantu golongan tersebut merupakan salah satu bentuk khidmat sosial kami.
“Walaupun ia merupakan tugas berat, namun kami tetap akan berusaha membantu golongan berkenaan melalui sumbangan yang dikumpulkan dari pihak korporat,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 20 April 2017 | Terbitan 21 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan