KOTA BHARU: Seramai 2,000 kanak-kanak dijangka menyertai program 'The Teddy Bear Hospital' pada Sabtu ini, bagi menangani fobia mereka terhadap doktor dan rawatan perubatan.
Program percuma anjuran Islamic Medical Association of Malaysia Children and Teens Super Team (IMACATS) turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Kelantan, Hospital Raja Perempuan Zainab II dan beberapa organisasi berkaitan untuk diadakan di Hotel Grand Riverview.
Ketua Penyelaras IMACATS Dr Dalila Roslan berkata program itu membantu kanak-kanak berusia 3 hingga 12 tahun mengenali peralatan perubatan yang digunakan dan jenis rawatan yang diberikan sekiranya mereka berjumpa doktor di klinik dan hospital.
Beliau berkata kanak-kanak yang hadir perlu membawa patung mainan masing-masing selain ditemani ibu bapa dan anggota keluarga mereka.
"Sukarelawan akan membuat demonstrasi menggunakan peralatan biasa yang doktor gunakan semasa rawatan melalui teddy bear (patung beruang) atau patung mainan lain kepunyaan kanak-kanak yang hadir pada program itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya program itu membawa konsep pembelajaran melalui pengalaman dengan cara kreatif dan menyeronokkan bagi mendedahkan asas-asas kesihatan yang lebih mesra dengan kanak-kanak.
Selain itu, ibu bapa yang hadir akan didedahkan dengan pelbagai isu kesihatan dan langkah untuk mengatasinya melalui pencegahan awal.
Sumber: Bernama | 4 April 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan