KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar percaya wabak selesema burung (H5N1) yang dikesan di negeri ini kemungkinan berpunca daripada pertandingan laga ayam yang turut melibatkan ayam dari luar negara.
Sehubungan itu, Ketua Pengarahnya Datuk Dr Kamaruddin Md Isa meminta orang ramai memberhentikan aktiviti tersebut termasuk di kawasan sempadan bagi mengelakkan virus H5N1 merebak ke kawasan lain.
"Kes ini kita lihat hampir serupa dengan kes 2004 yang juga berlaku di Kelantan yang mana punca ayam dijangkiti H5N1 ada kaitan dengan aktiviti laga ayam di kawasan sempadan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kamaruddin berkata siasatan lebih lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar wabak tersebut termasuk melakukan padanan kes dengan penyakit unggas di negara-negara ASEAN.
"Setakat ini tiada lagi lokasi baharu dikesan malah wabak itu juga didapati tidak merebak ke negeri lain," katanya.
Beliau berkata setakat ini juga sebanyak 15,957 unggas seperti ayam kampung, itik, ayam serama, angsa, burung puyuh dan burung ketitir telah dimusnahkan di Kota Bharu dan Pasir Mas, iaitu yang berada dalam lingkungan 10 kilometer dari lokasi penemuan wabak itu di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini, untuk mengelak virus H5N1 merebak.
Virus H5N1, yang menyerang unggas itu, dikesan pada 6 Mac lepas setelah beberapa ekor ayam kampung milik penduduk mati.
Sumber: Bernama | 14 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan