Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 13 Mac 2017

Nilai transaksi UTC Kelantan cecah RM33.5 juta

Najib melawat Klinik Pergigian 1Malaysia selepas merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan, Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Nilai transaksi urusan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan mencecah RM33.5 juta sejak memulakan operasi Oktober tahun lepas.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perangkaan itu menunjukkan kewujudan UTC di negeri ini di Plaza Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan berada di landasan yang betul sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Kutipan transaksi ini pula pastinya akan dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai kerangka yang dirancang di bawah Rancangan Malaysia akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian UTC Kelantan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Ahmad berkata, dengan kemudahan pelbagai perkhidmatan yang disediakan di UTC, ia akan menjimatkan masa, wang dan tenaga komuniti bandar di negeri ini untuk menyelesaikan urusan dalam satu bangunan.

"Saya mewakili kepimpinan dan rakyat negeri Kelantan mengucapkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri kerana telah mewujudkan UTC di negeri ini yang akan memberi manfaat kepada rakyat. Terima kasih di atas keperihatinan ini," katanya.

Beliau berkata, operasi UTC yang bernilai RM37.8 juta itu diuruskan sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Ahmad turut mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya tidak menggunakan waktu pejabat sahaja untuk menyelesaikan urusan rasmi di UTC kerana pusat itu beroperasi sehingga pukul 10 malam setiap hari.

Dalam pada itu, beliau turut meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menaik taraf tempat letak kereta di hadapan bangunan UTC itu bagi melancarkan urusan rakyat.

Terdapat 12 agensi persekutuan, sembilan agensi negeri, enam badan berkanun dan 14 syarikat swasta beroperasi di UTC Kelantan selain ruang niaga khas kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).
 
Sumber: Bernama | 12 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan