Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 26 Mac 2017

Pengendali Pelabuhan Perikanan Tok Bali perlu tingkatkan pelbagai perkhidmatan - Ahmad Shabery

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menunjukkan ikan yang ditangkap oleh nelayan ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Negeri Kelantan di Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali.
PASIR PUTEH: Pelabuhan Perikanan Tok Bali di sini, berpotensi menjadi hab perikanan laut dalam yang utama di rantau ini sekiranya pelbagai perkhidmatan bertaraf antarabangsa dapat disediakan di pelabuhan itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata potensi itu jelas dilihat apabila pendaratan ikan di Kelantan mencatatkan peningkatan lebih tiga kali ganda dalam tempoh tiga tahun.

"(Pendaratan ikan) daripada 62,238 tan metrik ikan pada 2014, ia telah meningkat kepada 218,800 tan metrik pada tahun lepas (2016)," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama nelayan di pelabuhan tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri Semerak Datuk Zawawi Othman, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Ahmad Shabery berkata antara perkhidmatan yang perlu dipertingkatkan itu ialah bilik sejuk beku, bekalan ais yang berkualiti dan mencukupi untuk jangka panjang, kilang industri hiliran, logistik dan memastikan tahap kebersihan memenuhi piawaian antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau mahu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Semerak yang mengendalikan pelabuhan tersebut mempertingkatkan perkhidmatan yang ditawarkan di pelabuhan itu.

Ahmad Shabery mahu persatuan nelayan terbabit merebut peluang perniagaan yang diberikan kerajaan kepada mereka untuk menjana pulangan yang terbaik melalui kewujudan pelabuhan tersebut.

Sementara itu, mengenai bekalan ikan di pasaran termasuk pada bulan Ramadan akan datang, Ahmad Shabery memberi jaminan ia mencukupi dan harga yang ditawarkan mampu dibeli oleh semua rakyat.

Beliau berkata selain memastikan pertambahan pendaratan ikan, pihak kementerian juga akan meningkatkan sistem pengedaran ikan yang lebih berkesan ke seluruh negara.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut menyampaikan 50 surat kelulusan lesen Pukat Suluh Bilis, 45 sijil alat Sistem Pengecaman Automatik, 50 unit tong insulasi, 40 unit GPS (sistem kedudukan global), 150 pukat hanyut dan 160 unit pelampung keselamatan kepada nelayan jajahan Pasir Puteh, Tumpat, Kota Bharu dan Bachok.

Beliau turut melancarkan projek membina unjam di perairan Kelantan yang akan memberi manfaat kepada lebih 3,400 nelayan.

Sumber: Bernama | 26 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan