KOTA BHARU: Penyerang muda Kelantan Muhammad Danial Asyraf Abdullah mahu meningkatkan prestasinya bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad The Red Warriors apabila saingan Liga Malaysia kembali beraksi bulan depan.
Muhammad Danial Asyraf, 20, berkata saingan Liga Malaysia yang berehat ketika ini memberi peluang kepadanya untuk membaiki kelemahan dan corak permainannya.
"Saya akui banyak perkara lagi yang perlu saya lakukan setelah diberikan peluang dan kepercayaan bermain sebagai pemain gantian oleh ketua jurulatih pada tiga perlawanan Liga Super sebelum ini.
"Ia memerlukan saya berkerja keras dan berusaha lebih kerana pemain lain turut melakukan perkara sama," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pemain kebangsaan bawah 20 tahun itu berkata rakan sepasukan turut membantunya menambah baik permainan semasa sesi latihan pasukan.
"Mereka beritahu apa yang perlu saya perbaiki dan perkara ini secara tidak langsung akan membentuk persefahaman antara kami apabila diturunkan beraksi pada perlawanan selepas ini.
"Saya lihat persaingan antara pemain muda dan pemain berpengalaman untuk berada dalam kesebelasan utama adalah sesuatu yang positif untuk pasukan," katanya.
Ditanya mengenai penyokong yang meletakkan harapan tinggi kepadanya untuk terus menunjukkan aksi berkualiti, beliau berkata perkara itu akan dijadikan dorongan untuknya meningkatkan prestasi.
Sumber: Bernama | 14 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan