Mahktar (tiga, kanan) ketika menyampaikan penyembur lada kepada anggota polis wanita sempena Majlis Pelancaran Bandar Pelancongan Selamat.. |
KOTA BHARU: Kerajaan menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan membelanjakan kira-kira RM16 juta setahun untuk mewujudkan bandar pelancongan selamat di Kelantan.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, perbelanjaan tersebut membabitkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta membina laluan pejalan kaki bagi kemudahan orang ramai terutama pelancong.
“Kelantan menerima pelancong lima juta setahun dan mereka dianggarkan berbelanja sekitar antara RM1,500 dan RM2,500 setiap seorang, namun daripada jumlah itu hanya sejuta yang bermalam di negeri ini.
“Saya jangka dengan kewujudan bandar selamat pelancongan akan mampu menarik lebih ramai pelancong untuk bermalam dan berbelanja di Kelantan. Hasil pelancongan sememangnya cukup hebat dan mampu membangunkan ekonomi Kelantan khususnya buat peniaga-peniaga kecil,” katanya pada Majlis Pelancaran Bandar Pelancongan Selamat di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Datuk Zamri Ismail.
Mahktar berkata, Program Bandar Selamat merupakan suatu langkah yang penting dalam aspek menjamin keselamatan pelancong semasa berada di bandar raya Kota Bharu.
“Kita harap mutu keselamatan dapat ditingkatkan sekali gus memberi mesej kepada pelancong luar bahawa Kota Bharu sebagai destinasi pelancongan bandar yang paling selamat dan selesa untuk dikunjungi,” katanya.
Tambahnya, antara projek mengindahkan bandar yang sering diutamakan setiap tahun adalah membina laluan pejalan kaki, laluan motosikal, pemasangan lampu-lampu, kios, tandas awam, tempat menunggu bas dan banyak lagi.
“Perbelanjaan itu turut membabitkan majlis-majlis daerah lain juga tetapi Kota Bharu antara yang paling banyak menelan kos bagi tujuan bandar pelancongan selamat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 19 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan