Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 26 Mac 2017

Jabatan Perkhidmatan Veterinar terus pantau unggas di Kelantan - Ahmad Shabery

PASIR MAS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan terhadap unggas di Kelantan sehingga negeri itu diisytiharkan bebas daripada wabak selesema burung.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata selain melupuskan unggas di kawasan terbabit, sekatan jalan raya juga dilakukan di beberapa laluan di negeri ini bagi mengelak unggas di kawasan wabak dibawa keluar ke kawasan lain.

"Alhamdulillah, setakat ini tidak ada kes baharu dan mengikut SOPnya(Prosedur Operasi Standard) ada beberapa hari untuk isytihar Kelantan bebas daripada wabak selesema burung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Negaraku Prihatin' di Pertubuhan Peladang Kawasan Kubang Bunut, Meranti di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata setakat ini, sebanyak 37,862 ekor ternakan unggas termasuk ayam dan 15,450 telur dilupuskan berikutan wabak tersebut di negeri ini, sebagai langkah pencegahan.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dengan kualiti dan keselamatan produk makanan supaya ia selamat untuk dimakan," katanya.

Kerajaan Kelantan pada 15 Mac lepas mengisytiharkan wabak selesema burung (H5N1) sebagai bencana negeri selepas beberapa ekor ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas.

Sementara itu, Ahmad Shabery menggalakkan petani yang menjadi peserta Ladang Merdeka di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) turut menceburi perusahaan kecil seperti penghasilan makanan ringan, bagi menambah pendapatan.

Beliau berkata petani terbabit mempunyai banyak masa terluang apabila tanaman padi melalui Ladang Merdeka diuruskan oleh Kada dan agensi itu juga mempunyai program keusahawanan untuk membantu mereka.

Turut hadir Pengerusi Kada Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Sumber: Bernama | 26 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan