Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 15 Mac 2017

Projek tadahan air bukit untuk masyarakat Orang Asli Gua Musang

GUA MUSANG: Kerajaan Kelantan akan melaksanakan projek tadahan air bukit untuk masyarakat Orang Asli di Gua Musang berikutan Sungai Nenggiri dipercayai tercemar akibat kegiatan pertanian di Tanah Tinggi Lojing.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani berkata selain dicemari dengan sisa buangan, air sungai berkenaan juga berkeladak kesan daripada pembukaan tanah tinggi itu secara tidak terkawal.

"Kami menerima banyak aduan daripada penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan berhubung pencemaran air sungai itu dan cara mengatasinya ialah dengan membuat tadahan air yang mengalir dari kawasan bukit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada 400 penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini, Rabu.

Mat Yusoff berkata bagi mengatasi masalah itu, kerajaan akan melaksanakan projek tadahan air bukit bagi membekalkan air bersih kepada penduduk terbabit.

"Kita sudah berbincang dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi membina kawasan tadahan air bukit itu dan sekarang sedang menunggu peruntukan daripada kerajaan untuk melaksanakan projek tersebut.

"Fokus utama bagi mengatasi masalah itu ialah membina tadahan air bukit untuk penduduk di Pos Belatim dan Simpor yang sekarang ini mereka terpaksa menggunakan bekalan air dari Sungai Nenggiri," katanya.

Mat Yusoff berkata sebelum ini beberapa projek tadahan air bukit telah dilaksanakan namun ia rosak akibat kegiatan pembalakan dan pembukaan tanah untuk pertanian.

Sumber: Bernama | 15 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan