Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 10 Mac 2017

Selesema burung: Pelupusan unggas dijalankan di sekitar Kampung Pulau Tebu

KOTA BHARU: Hampir 80 peratus kerja pelupusan unggas di kawasan yang disyaki terlibat kes selesema burung (H5N1) sekitar Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini, berjaya dilaksanakan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata ia dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar melalui sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk sejak kes itu dikenal pasti pada 6 Mac lalu.

"Kita percaya kerja-kerja pelupusan akan berjaya dilakukan sepenuhnya esok di semua kawasan sekitar satu kilometer dari lokasi wabak (Kampung Pulau Tebu) dikesan pada 6 Mac lepas itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Che Abdullah berharap penduduk di kawasan berkenaan dapat terus memberi kerjasama dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa bagi memastikan kerja pelupusan itu berjalan lancar dan Kelantan bebas daripada wabak tersebut dalam kadar segera.

Beliau berkata orang awam terutama penduduk negeri ini juga tidak perlu panik atau bimbang untuk membeli ayam di pasaran kerana kes tersebut adalah kes terpencil dan tiada kawasan ladang ternakan ayam dikesan positif H5N1.

"Sejak wabak itu dikesan (pada 6 Mac), hanya beberapa ekor ayam kampung di tiga lokasi dikesan positif H5N1 dan tiada kes baharu lain direkodkan setakat ini dan tiada ladang ternakan yang terlibat," katanya.

Katanya kawalan ketat dengan kerjasama pihak polis terus dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku pemindahan keluar unggas termasuk ayam oleh penduduk ke kawasan lain bagi memastikan usaha membasmi H5N1 berjaya.

Che Abdullah berkata langkah-langkah kawalan juga telah dilaksanakan sekitar 10 kilometer dari lokasi terbabit sebagai langkah berjaga-jaga dan kira-kira 200 unggas telah dilupuskan setakat ini.

Beliau berkata Kelantan akan diisytiharkan bebas H5N1 jika tiada kawasan positif baharu dikesan dalam tempoh 21 hari daripada hari pertama penemuan wabak itu.

Sumber: Bernama | 10 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan