Cadangan Stesen Kereta Api Kota Bharu di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.
Foto ihsan: Malaysia Rail Link (www.mrl.com.my) |
KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan bermula Julai ini melibatkan jajaran sejauh kira-kira 600 kilometer bermula dari Gombak, Selangor dan berakhir di Pengkalan Kubor, Kelantan.
Projek yang melibatkan kos kira-kira RM55 bilion ini merentasi empat buah negeri, iaitu Selangor, Pahang, Terengganu, dan Kelantan dijangka dapat disiapkan pada tahun 2022.
Stesen terminal ECRL di Gombak dicadang untuk dibina berhampiran Stesen LRT Gombak dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG), manakala stesen terminal di Pengkalan Kubor, Kelantan masih belum ditentukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memandangkan jajaran tambahan dari Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor baru sahaja diluluskan YAB Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak pada 12 Mac 2017 yang lepas.
Di Kelantan, lima buah stesen akan dibina termasuk tiga stesen untuk kemudahan kargo, iaitu Tok Bali (penumpang dan kargo), Jelawat, Kota Bharu, Wakaf Bharu (penumpang dan kargo), dan Pengkalan Kubor (penumpang dan kargo).
Walaupun jajaran ECRL turut melalui bandar Mentakab, Pahang, perkhidmatan ECRL dengan perkhidmatan kereta api yang ditawarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Tumpat ke Johor Bahru hanya disepadukan di Stesen Kereta Api Wakaf Bharu. Hal ini kerana tapak Stesen ECRL Mentakab dicadangkan dibina di bahagian selatan Taman Perindustrian Temerloh dan bukannya berdekatan dengan Stesen Kereta Api Mentakab sedia ada. Stesen ECRL Wakaf Bharu pula dicadangkan dibina bersebelahan stesen kereta api sedia ada.
Cadangan stesen ECRL Wakaf Bharu bersebelahan stesen kereta api sedia ada.
Foto ihsan: Malaysia Rail Link (www.mrl.com.my) |
Stesen Kereta Api Kota Bharu dicadang dibina di bahagian selatan bandar raya Kota Bharu, iaitu di Tunjong dan tidak berapa jauh dari jajaran Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (Lebuh Raya KBKK), manakala Stesen Kereta Api Jelawat akan dibina di Jalan Jelawat - Beris Lalang, iaitu tidak berapa jauh dari kampus induk Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Stesen Kereta Api Tok Bali pula dicadangkan dibina tidak berapa jauh dari Bandar Baharu Tok Bali dan Jalan Pasir Puteh - Tok Bali akan menjadi laluan akses utama untuk ke stesen kereta api ini.
Sumber: Gerbang Kota Bharu | 19 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan