KOTA BHARU: Pengedar kereta mewah jenama Mercedes, Mofaz Exotic Car Sdn Bhd menyasar penjualan sebanyak 160 unit kereta mewah itu bagi pasaran Kelantan dan Terengganu pada tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya Ferhan Fauzy berkata beliau yakin sasaran itu mampu dicapai dengan pembukaan Pusat Servis Mofaz Exotic Car Kota Bharu, pusat pameran dan servis tunggal Mercedes bagi kedua-dua negeri berkenaan yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat tersebut di bandar ini.
"Menerusi pembukaan pusat servis tunggal itu, pemilik Mercedes tidak lagi perlu ke Kuala Lumpur untuk menyelenggara kenderaan mereka kerana perkhidmatan berkenaan turut ditawarkan di pusat tersebut.
"Apa yang ada di Kuala Lumpur, mereka (pemilik Mercedes) juga boleh dapatkan di pusat servis ini dengan harga yang sama. Dalam erti kata lain ia akan memudahkan lagi pelanggan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran pusat servis berkenaan yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia Dr Claus Weidner di sini, hari ini.
Ferhan berkata permintaan terhadap kereta mewah berkenaan juga semakin meningkat di negara ini selepas Mercedes memperkenalkan beberapa model baharu yang memenuhi citarasa semasa pelanggan.
"Kita boleh tengok dalam lima tahun kebelakangan ini banyak model baharu Mercedes dilancarkan dan kebanyakan reka bentuknya memenuhi permintaan pelanggan.
"Kalau dahulu kita tengok hanya orang yang berumur (meminati Mercedes), namun kini dengan reka bentuk baharu berjaya menarik permintaan golongan muda, dan ia menjadi salah satu faktor akan meningkatkan jualan kenderaan itu di Kelantan dan Terengganu," katanya.
Sumber: Bernama | 14 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan