Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 12 Mac 2017

Pembinaan ECRL dijadual bermula Julai 2017

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka memulakan kerja pembinaannya pada Julai ini, dengan kos keseluruhan dianggarkan kira-kira RM55 bilion. 

Sebahagian daripada butiran projek pengangkutan mega itu sedang dipamerkan kepada umum selama tiga bulan bermula Rabu minggu lalu, bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenainya. 

Menurut Maybank Investment Banking (Maybank IB) Research, kerja pembinaan ECRL akan dimulakan Julai ini, jika tiada sebarang bantahan besar selepas tempoh tiga bulan butirannya dipamerkan kepada umum. 

Merangkumi laluan sepanjang 600.3 kilometer bagi fasa pertama, firma kaji selidik itu menyatakan ECRL akan melalui empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor

Laluan ECRL bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak akan berakhir di Wakaf Bharu, Kelantan, dengan 23 stesen perhentian di antaranya. 

"Fasa kedua akan dilaksanakan kemudian, menghubungkannya sehingga ke Pelabuhan Klang. Kelajuan tren akan mencecah 160 kilometer sejam dan ia akan membawa penumpang serta kargo," katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Maybank IB menambah, kos RM55 bilion bagi membina projek berkenaan ada disebut di dalam ucapan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada November lalu. 

"Kami difahamkan bahawa ini akan menjadi kos keseluruhan projek yang termasuk kos pembiayaan, selain kos pembinaan dan tanah," katanya. 

Satu pinjaman mudah bernilai AS$13 bilion berjaya diperoleh daripada Export-Import Bank of China. Kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) dianugerahkan kepada China Communications Construction Company Ltd, ketika lawatan Perdana Menteri ke China, November lalu. 

Menurut Maybank IB, difahamkan juga kontraktor Malaysia akan mendapat manfaat daripada projek berkenaan memandangkan terdapat keperluan 'kandungan tempatan'. Katanya, jika perkara itu benar setiap pakej kerja dianggarkan bernilai lebih daripada RM1 bilion. 

"Disebabkan saiznya yang besar, kami menjangkakan nama besar seperti IJM dan Gamuda akan mengintai kerja berkenaan. "Syarikat lain yang mendapat manfaat selain daripada kontraktor adalah adalah pembekal bahan binaan, Kuantan Port dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) memandangkan terdapat stesen perhentian di Kuantan Port City," katanya. 

IJM menguasai 60 peratus kepentingan di dalam Kuantan Port dan 40 peratus di dalam MCKIP. Sebanyak 30 peratus kepentingan MCKIP juga dimiliki oleh Sime Darby Bhd. 

Di Kota Bharu, Najib hari ini mengumumkan laluan ECRL bermula di ITT Gombak akan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat berbanding sebelum ini di Wakaf Bharu, Kelantan

INFO:-
  • Masa beroperasi harian: Penumpang (22 jam), Kargo (22.5 jam) 
  • Tempoh perjalanan: Kurang 4 jam dari Wakaf Bharu ke ITT Gombak 
  • Laluan utama: 534.8 kilometer 
  • Laluan sokongan: 65.5 kilometer 
  • Stesen: 12 stesen penumpang, 2 stesen kargo, 9 stesen penumpang dan kargo 
  • Kapasiti penumpang setiap tren: 600 orang 
  • Gerabak setiap tren: 8

Sumber: Berita Harian | 12 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan