Datuk Seri Najib Tun Razak melihat lakaran projek Laluan Rel Pantai Timur di majlis pelancaran Program Jom Bantu Rakyat dan perasmian tapak projek Hospital Bachok di Kampung Bator, Jelawat, Bachok. |
KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pertambahan laluan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dari Wakaf Bharu di sini ke Pengkalan Kubor, Tumpat.
Sebelum ini, laluan ECRL bermula di terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak berakhir di Wakaf Bharu, dengan 23 stesen perhentian di antaranya.
Beliau berkata, dengan wujudnya ECRL itu, impak yang diberikan cukup besar dengan kadar pertumbuhan ekonomi bertambah kepada 1.15 peratus di Pantai Timur.
"Perjalanan dari Gombak ke Wakaf Bharu juga semakin singkat dengan menelan masa empat jam berbanding 12 jam menaiki bas.
"Ini bermakna kita boleh pulang ke kampung dengan keadaan selesa pada musim perayaan tanpa menempuh kesesakan.
"Projek ini akan siap dan menjadi realiti dalam tempoh 2021 atau 2022. Ia berkat kerjasama Kerajaan Persekutuan kepada rakyat, " katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, hari ini.
Pelaksanaan projek ECRL yang dianggarkan bernilai RM55 bilion itu diumumkan Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2017 dan dijangka bermula Julai depan.
Sumber: Berita Harian | 12 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan