Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 21 Mac 2017

Kerajaan Kelantan akui ketirisan pungutan doket pasir

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini mengakui berlakunya ketirisan dalam pungutan doket (cukai) hasil pasir di negeri ini.

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata kerajaan negeri mempergiat penguatkuasaan pungutan doket, yang mendapat kerjasama daripada para pengusaha pasir di negeri ini.

"Pada 2015, hasil kita ialah RM600,000 lebih tetapi untuk dua bulan pertama tahun ini, selepas pelbagai penguatkuasaan serius dilakukan, kita berjaya memperoleh RM800,000.

"Dengan purata RM400,000 sebulan, kerajaan menjangka pembayaran doket untuk 2017 adalah sebanyak RM4.8 juta. Harga bagi setiap doket adalah RM1.65 setiap satu tan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Azami Mohd Nor (PAS-Kadok) yang bertanyakan mengenai ketirisan pungutan doket pengeluaran pasir di negeri ini.

Terdahulu, Hanifa menjawab soalan dikemukakan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang meminta senarai syarikat yang berjaya mendapat tender terbuka dalam perusahaan pasir di seluruh kelantan untuk 2017.

Sementara itu, Md Alwi ketika ditemui pemberita di luar dewan, berkata tuduhan PAS yang mendakwa berlakunya ketirisan di peringkat kerajaan Persekutuan kini terpalit kepada mereka pula.

"Bukan UMNO sajalah yang tiris selama ini, mereka (PAS) pun tiris jugalah. Maknanya ketirisan berlaku di mana-mana.

"Jadi, saya sebagai pembangkang kena tunjuklah mana tiris tu. Saya dah tunjuk, kerajaan negeri kena baikilah," katanya.

Sumber: Bernama | 21 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan