Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 13 Mac 2017

Mahkamah Majistret Kota Bharu benar pindah kes Daesh ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

KOTA BHARU: Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes dua lelaki yang menghadapi pertuduhan cuba mendapatkan sokongan terhadap kegiatan militan Daesh, ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Majistret Nik Habri Muhamad membuat keputusan itu selepas menerima permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Habibullah Mohammad Shah.

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh, Hizmi Razli Abdul Rahim, 32, dan Tengku Shukri Che Engku Hashim, 30, didakwa memberi sokongan kepada Daesh dengan melafazkan sumpah taat setia terhadap kumpulan militan berkenaan dalam aplikasi Telegram 'Gagak Hitam'.

Hizmi Razli didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Pulau Kapas di sini, pada 12.37 malam, 30 Mac 2016, manakala Tengku Shukri di Taman Tanjung Mas, Jalan Pengkalan Chepa di sini, pada 5.08 petang pada tarikh sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu cuba mendapatkan sokongan bagi kumpulan pengganas yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan rampas harta yang digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi kegiatan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula Hizmi Razli didakwa memberi sokongan kepada Daesh melibatkan penggunaan bahan letupan dengan niat melanjutkan perjuangan ideologi untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram kumpulan Amanah (PHB) vs Pas, pada 3.32 pagi, 28 Jun 2016.

Mahkamah Majistret bagaimanapun melepaskan dan membebaskan Hizmi Razli daripada pertuduhan kedua itu.

Sementara Tengku Shukri pula didakwa melakukan kesalahan sama di alamat Tanjung Mas di sini, antara 3.18 pagi hingga 11.27 malam, tarikh sama, mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hazrin Alif.

Sumber: Bernama | 13 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan