Najib diiringi Mustapa dan Awang Adek melihat model Hospital Bachok. |
BACHOK: Sebuah hospital awam akan dibina di daerah ini dengan kos RM140 juta yang dijangka siap September 2019.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembangunan projek itu di Majlis Pelancaran Program Jom Bantu Rakyat dan Pecah Tanah Tapak Projek Hospital Bachok di Jelawat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk terus membantu rakyat Kelantan dan mahu melihat negeri itu maju seperti yang lain.
“Ambo sebagai Perdana Menteri nak buktikan Kelantan maju dan sebagai pemimpin, kita kena adil.
“Soal undi itu soal kedua, Tuhan perintahkan kalau jadi pemimpin kena adil, jika tak dapat undi, akhirat ada ganjarannya," katanya dalam ucapannya, hari ini.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Pengerusi Pembangunan Parlimen Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Najib turut mengulas pelbagai perancangan yang sudah diatur untuk pembangunan Malaysia keseluruhannya dan membawa masuk pelaburan untuk ekonomi negara.
Katanya, kunjungan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia yang lalu turut membawa bersama pelaburan termasuk pembinaan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).
“Kalau Malaysia bankrap, dipimpin tidak ikut Islam, adik kakok ingat Raja Salman nak melabur di Malaysia? Jadi tolong bagi tahu pembangkang yang melabur di Malaysia ini adalah pemimpin dunia yang disanjung tinggi.
“Ambo pun ada impian besar nak membawa perubahan ke negara kita, sebab itu kita bangunkan projek kereta api dari Kuala Lumpur ke Tumpat dan ada hampir 30 stesen termasuklah di Jelawat ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro | 12 Mac 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan