Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 26 Mac 2017

Jambatan Pulau Raya: Tanah Merah, Machang berisiko banjir lebih dahsyat

Pelan cadangan asal pembinaan jambatan kedua menghubungkan Machang-Tanah Merah dari Kampung Joh di Machang (kanan) dan Belimbing melalui Pulau Raya di Tanah Merah.
TANAH MERAH: Daerah ini dan Machang berisiko dilanda banjir lebih dahsyat daripada bah kuning 2014 jika jambatan kedua menghubungkan dua daerah itu dibina di lokasi asal dari Kampung Joh ke Belimbing melalui Pulau Raya, dekat sini.

Jurutera Jajahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Tanah Merah, Mazlan Mustafa berkata, hasil kajian teknikal JKR mendapati reka bentuk jambatan untuk lokasi asal boleh menghalang aliran sungai pada musim banjir kerana melibatkan pembinaan tambak.

Menurutnya, tambak sepanjang 500 meter dengan ketinggian tiga meter di atas Pulau Raya itu sebahagian daripada keseluruhan struktur jambatan sepanjang 1.1 kilometer yang akan dibina merentasi sungai jika projek tersebut dikekalkan di lokasi asal.

"Jambatan sepatutnya dibina secara struktur elevated sepanjang rentasan sungai dan bukannya ada tambakan merentangi sungai yang boleh mengundang limpahan sungai serius jika banjir besar.

"Jika berlaku limpahan akibat laluan air sungai terhalang oleh tambakan tersebut, bukan sahaja Pulau Raya tenggelam, malah daerah ini dan Machang akan menanggung banjir lebih dahsyat daripada bencana pada 2014," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan lebih 100 penduduk Mukim Belimbing supaya lokasi asal jambatan kedua dari Kampung Joh, Machang ke Kampung Belimbing melalui Pulau Raya dikekalkan.

Mazlan berkata, tambak atas pulau melintang sungai juga bertentangan kehendak teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu sebarang pembinaan jambatan tidak sepatutnya mengganggu aliran semula jadi sungai terutama aliran musim banjir.

"Bajet kira-kira RM70 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk projek ini pula tidak mencukupi untuk membina jambatan konkrit sepenuhnya tanpa melibatkan pembinaan tambak," katanya.

Tambahnya, atas sebab teknikal dan kekangan bajet itu, JKR mencadangkan lokasi jambatan kedua dipindah dan dibina dari Kampung Mata Air di Machang ke Kampung Paloh di Tanah Merah kerana lebih praktikal dan lebih jimat.

"Lokasi baharu ini mempunyai jarak rentasan sungai lebih pendek iaitu hanya 500 meter yang membolehkan jambatan sepenuhnya dibina tanpa mengganggu aliran sungai ketika banjir," katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan