Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 18 Mac 2017

Husam kata ECRL tidak mustahak

KETIKA seluruh rakyat di Pantai Timur begitu teruja dan menyambut baik pengumuman projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), namun Penasihat PAN (Parti Amanah Negara), Datuk Husam Musa pula sebaliknya, apabila beliau menyifatkan pembinaan tersebut sebagai tidak mustahak.

Malah Husam juga cuba menutup kegagalannya yang sekadar berjanji untuk membina landasan kereta api laju di Kelantan ketika menjadi Exco kerajaan negeri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dengan menuduh usaha Perdana Menteri itu sebagai tidak berbaloi.

“Adakah mustahak kereta api laju itu bagi rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang pada waktu ini. Apa yang mustahak kita lihat Perdana Menteri cuba pinjam duit daripada China melalui projek tersebut,” dakwanya ketika berucap pada ceramah Pakatan Harapan malam tadi.

Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan projek ECRL sepanjang 600 kilometer (km) bermula dari Pelabuhan Klang, sehingga Pengkalan Kubor, Tumpat yang dijangka siap pada tahun 2022.

Pembinaan tersebut sekali gus bakal menyaksikan Kelantan memiliki lima stesen ECRL iaitu Tok Bali, Jelawat, Kota Bharu, Wakaf Bharu serta Pengkalan Kubor sekali gus membantu merancakkan perkembangan ekonomi di kawasan terbabit.

Malah,impak daripada pembinaan ECRL ini bakal menyaksikan kadar pertumbuhan di negeri-negeri Pantai Timur meningkat 1 sehingga 1.5 peratus pada masa akan datang.

Dakwaan Husam sebagai tidak mustahak itu sebenarnya secara tidak langsung menggambarkan keegoannya, yakni tidak boleh orang lain yang lebih.

Husam sebelum ini pernah mengumumkan projek kereta api laju, tetapi sampai sekarang bayang pun tidak kelihatan. Namun tiba-tiba apabila Perdana Menteri mengumumkan projek itu beliau menyangkal demikian (tidak mustahak). Jadi, maknanya Husam terlebih dahulu mengumumkan perkara yang tidak mustahak kepada rakyat.

Apapun, orang Kelantan sememangnya tidak asing dengan janji Husam. Mereka sudah terang lagi bersuluh kerana semuanya tidak pernah menjadi. Janjinya hanya tinggal janji. Dengan kata mudah Husam gagal membuktikan kemampuannya di negeri sendiri, tetapi bijak beretorik.

Lihat sahaja beberapa projek hasil daripada idea Husam sepanjang bersama kerajaan PAS Kelantan iaitu Jihad Ternak melibatkan baka kambing Jamnapari beserta kandang pasang siap. Sebaliknya, projek itu dikatakan berkesudahan dengan menyayat hati.

Demikian dengan projek Koridor Depu yang dilancarkan pada 2007 ketika Kerajaan Pusat sedang sibuk melancarkan program koridor ekonomi di seluruh negara. Walhasil, yang berlambak dan berlonggok adalah benih depu. Aromanya entah ke mana.

Lebih menarik lagi ialah projek stadium baharu di Bukit Merbau, Selising. Idea ini dicetuskan semasa Kelantan sedang menempah kehebatan dalam liga bola sepak negara di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa.

Bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melancarkan majlis pecah tanah pembangunan bandar sukan di atas kawasan seluas 108.8 hektar di Bukit Merbau itu pada 30 Mac 2013.

Namun sampai sekarang, belum ada sebatang tiang dibangunkan di lokasi itu. Bukit Merbau terus sepi menagih janji Husam.

Kini Husam tidak lagi bersama PAS. Husam kini penasihat parti baharu serpihan PAS iaitu PAN. Jika bersama kerajaan (Exco kanan lagi) dulu pun beliau gagal, apa kemampuannya bersama parti baharu.

Yang pasti, dari dulu hingga kini beliau belum mampu membuktikan kemampuannya.

Maka, kalau ECRL tidak mustahak, apa yang mustahak bagi Husam. Barangkali janji dan cadangannya dulu-dulu pun sebenarnya juga tidak mustahak. Dalam kata lain, itulah ‘cakap orang politik’.

Sumber: sokmo.net | 16 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan