Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 22 Mac 2017

JKOASM sukarkan perbincangan antara kerajaan negeri dan Orang Asli - Mohd Amar

Dewan Undangan Negeri Kelantan
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menyifatkan tindakan sebuah pertubuhan yang didakwa mengapi-apikan Orang Asli menjadi antara penyebab timbul kesulitan di antara masyarakat itu dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah berkaitan aktiviti pembalakan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata walaupun Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) mendakwa mereka mewakili masyarakat Orang Asli dalam isu berkenaan, namun ia merupakan sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar dan pandangan mereka tidak boleh diambil kira.

"Sebab itu agak sukar untuk kerajaan berurusan dengan JKOASM walaupun mereka mengaku mereka adalah wakil Orang Asli.

"Mengikut maklumat yang ada pada kita, JKOASM ini adalah di belakang tindakan sekatan Orang Asli. Mereka juga mengapi-apikan Orang Asli dengan isu tanah adat, padahal tanah adat hanya ada di Sabah dan Sarawak sahaja," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ab Aziz Yusoff (BN-Galas) yang ingin tahu mengenai inisiatif yang telah dan sedang diusahakan kerajaan negeri dalam memberikan kelulusan tanah kepada Orang Asli sebagai rizab penempatan mereka.

Mohd Amar berkata kerajaan negeri telah meluluskan dan mewartakan 11,587.433 hektar tanah membabitkan tujuh kawasan di Gua Musang sebagaimana yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Beliau berkata masyarakat Orang Asli sebelum ini mengemukakan tuntutan tidak munasabah iaitu mereka mahu sebuah keluarga diberikan tanah seluas 20 hektar seorang.

"Masyarakat Orang Asli di Kelantan ini hanyalah sekitar 8,000 orang sahaja. Jika kesemua mereka diberikan tanah 20 hektar, maknanya kerajaan negeri kena peruntukkan lebih 80,000 hektar tanah kepada mereka. Jika ini berlaku, bagaimana kita nak laksanakan pembangunan dan mengeluarkan hasil hutan," katanya.

Sumber; Bernama | 22 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan