Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 18 Mac 2017

Terminal Bersepadu Gombak dijangka beroperasi pada separuh kedua 2019

Lakaran artis Terminal Bersepadu Gombak.
KUALA LUMPUR: Projek pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak (ITT Gombak) atau lebih dikenali juga sebagai Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di Gombak, Selangor telah bermula sejak November tahun lepas dan dijangka dapat beroperasi pada separuh kedua tahun 2019 nanti. 

Ia dibina bersebelahan dengan Stesen LRT Gombak (sebelah timur stesen LRT) dan bersambung terus dengan Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2/MRR2) dan tidak berapa jauh dari tapak terminal kereta api Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jajaran Gombak - Pengkalan Kubor yang akan bermula pembinaannya pada Julai ini. 

TBG merupakan terminal bas ekspres khusus untuk destinasi ke Pantai Timur, iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang yang mampu menampung sehingga 700 perjalanan bas dan 22,000 pengguna sehari. 

Tapak Terminal Bersepadu Gombak bersebelahan dengan Stesen LRT Gombak. Foto ihsan: The Sun Daily
Terminal bas ekspres tujuh tingkat ini dibina dengan kos RM307 juta dan akan dilengkapi dengan sistem e-tiket berpusat untuk pembelian tiket bas, 950 lot parkir kereta, dan 80 petak parkir bas. 

Pada ketika ini, perkhidmatan bas ekspres ke Pantai Timur dari ibu negara beroperasi dari Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan yang terletak di bahagian selatan bandar raya Kuala Lumpur berbanding TBG yang terletak di sebelah timur laut bandar raya Kuala Lumpur. 

Perkhidmatan sistem transit aliran ringan (LRT) akan menjadi mod pengangkutan utama untuk ke TBG dan disokong oleh perkhidmatan bas pengantara dan teksi ke Stesen LRT Gombak. 

Sumber: Gerbang Kota Bharu | 18 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan